
8 FAKTA MENARIK TENTANG TOYOTA MR2 SW20. KECIL-KECIL CILI API
π π ππππ πππππππ πππππππ ππππππ πππ ππππ
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Apabila bercerita tentang jentera yang mempunyai konfigurasi enjin di tengah, umum mengetahui ia sinonim dengan Honda NSX. Namun begitu, jentera keluaran negara Jepun pertama yang menggunakan konfigurasi seperti ini ialah Toyota MR2 melalui model generasi pertamanya iaitu Toyota MR2 AW11 yang diproduksikan bermula tahun 1984.
Hari ini, kita akan melihat perkara menarik tentang jentera Toyota MR2 generasi kedua.
ππππ
Nama “MR2” merujuk kepada “Mid-ship Run-about 2-seater” atau “Mid-engine, Rear-wheel-drive, 2-seater”. Senang betul buat nama kan ?
Hal ini kerana konfigurasinya yang memang sinomin dengan namanya dimana posisi enjinnya berada di tengah, pacuan roda belakang dan juga hanya mampu memuatkan 2 orang sahaja.
ππππππ ππππ π πππππππππ
Jentera ini direka oleh Kunihiro Uchida pada tahun 1987. Rekaan jentera ini sememangnya mendahului zaman dimana rekaannya hampir sama dengan Ferrari 348 yang direka oleh Leonardo Floravanti di Pininfarina. Yang menariknya, kedua dua model Toyota MR2 SW20 dan Ferrari 348 mula diproduksikan pada tahun 1989. Adakah ia satu kebetulan ?
Disebabkan rekaan ini juga Toyota MR2 SW20 mendapat jolokan sebagai “Poor Man Ferrari” atau “Baby Ferrari”.
Pada tahun 1996 sehingga 1999, pihak Toyota melalui Toyota TechnoCraft(TTC) memproduksikan model “Spider”. Apabila bercerita tentang “Spider”, ciri utamanya semestinya bumbung yang boleh dibuka dan disimpan. Model ini merupakan model paling “Rare” dimana hanya terdapat 91 unit sahaja di seluruh dunia.

ππππππππ ππππππππ πππ ππππππ
Sekiranya Honda NSX mendapat sentuhan Ayrton Senna ketika menala sistem gantungan, Toyota MR2 SW20 juga turuy mendapat sentuhan yang sama.
Pihak Toyota menggunakan khidmat Dan Gurney iaitu seorang pemandu lagenda Formula One, NASCAR dan juga Le Mans untuk menala sistem gantungan jentera ini supaya berada di tahap yang paling baik.
Jentera ini menerima sistem gantungan bebas jenis topang McPherson pada bahagian hadapan dan belakang jentera dan sistem ini adalah jauh lebih baik berbanding generasi sebelumnya.
πππππππ πππππ ππππ ππππππππ
Jentera ini dilengkapi dengan 4 pilihan enjin. Hal ini kerana jentera ini dibuat untuk pasaran global. Pelbagai variasi enjin diperkenalkan untuk mematuhi peraturan emisi pasaran luar negara.
Variasi enjin adalah seperti berikut :-
5S-FE 4-Silinder NA 2,164cc(2.2L)
Enjin yang digunakan pada Toyota MR2 ini merupakan enjin 5S-FE generasi kedua dimana ia mampu menghamburkan kuasa sebanyak 130hp dan daya kilas sekuat 195Nm. Enjin ini hanya terdapat pada jentera produksi pasaran USA sahaja. Pilihan sistem transmisi ialah 4-kelajuan automatik dan 5-kelajuan manual
3S-FE 4-Silinder NA 1,998cc(2.0L)
Enjin ini hanya terdapat pada jentera produksi pasaran Eropah sahaja. Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 138hp dan daya kilas sekuat 179Nm. Enjin ini digunakan disebabkan “Torque Band” enjin ini sesuai untuk dipadankan dengan sistem transmisi elektronik dan memberikan prestasi yang lancar.
3S-GE 4 Silinder NA 1,998cc(2.0L)
Enjin pada mulanya digunakan pada model produksi pasaran Jepun. Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 163hp dan daya kilas sekuat 186Nm. Kuat juga Tuan-Tuan untuk sebuah enjin NA.
Apabila pihak Toyota ingin menggunakan enjin ini pada jentera produksi pasaran Eropah, mereka terpaksa memasang unit “Catalytic Converter” bagi mematuhi peraturan emisi. Oleh itu, jentera produksi pasaran Eropah yang menggunakan enjin ini menerima kuasa lebih rendah iaitu 156hp dan daya kilas sekuat 191Nm.
Pasaran USA tidak menerima enjin ini.

3S-GTE 4-Silinder Turbo 1,998cc(2.0L)
Enjin ini merupakan enjin yang sangat popular di dalam keluarga Toyota dan mula menempa nama pada tahun 1986 apabila ia digunakan pada jentera Toyota Celica ST165.
Enjin yang digunakan pada Toyota MR2 SW20 ini merupakan enjin 3S-GTE generasi kedua. Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 218hp dan daya kilas sekuat 304Nm. Kuat betul Tuan-Tuan. Melantun-lantun perginya.
Hanya pasaran Jepun dan USA sahaja yang menerima model Turbo. Bagi pasaran USA, kuasa dihadkan kepada 200hp dan daya kilas sekuat 271Nm. Pasaran Eropah tiada model Turbo.
ππ πππππ ππππππππ, π ππππ βπ ππππππ πβ
Jentera ini diproduksikan selama 10 tahun bermula tahun 1989 sehingga tahun 1999. Selama 10 tahun produksi, jentera ini menerima 4 kali pembaharuan yang dipanggil sebagai “Revision”.
Jentera yang diproduksi pada tahun 1989 dikenali dengan model “Revision 1”. Model “Revision 1” bertahan sehingga tahun 1991.
Model “Revision 2” diproduksikan pada Januari 1992. Model ini menerima pembaharuan dari aspek enjin, pengendalian, sistem gantungan , sistem brek, sistem transmisi dan juga aspek aerodinamik. Model “Revision 2” hanya berada setahun sahaja di dalam pasaran.
Pada November 1993, jentera ini menerima pembaharuan sekaligus memulakan produksi sebagai model “Revision 3”. Model “Revision 3” merupakan model yang digilai peminat seluruh dunia dimana ia menawarkan naik taraf kepada semua model. Hasilnya, kesemua model menerima enjin yang lebih berkuasa dari yang sebelumnya.
Bukan itu sahaja, hampir keseluruhan sistem jentera luar dan dalam menerima pembaharuan bagi menjadikan jentera lebih baik dari segenap aspek. Model “Revision 3” bertahan selama 3 tahun.
Model “Revision 4” mula diproduksikan pada Jun 1996. Tidak banyak pembaharuan dilakukan pada model ini. Cuma model oni tidak dipasarkan di pasaran USA dan pasaran Eropah pula menerima enjin 3S-GE yang diturunkan kuasanya kepada 168hp disebabkan pengenalan sistem EGR. Selain daripada itu, rombakan dilakukan pada sistem ABS dan juga aspek kosmetik jentera. Sistem “Airbag” pada bahagian penumpang mula diperkenalkan sebagai pilihan di pasaran Jepun.
Model “Revision 5” mula diproduksikan pada tahun 1998. Model ini merupakan model terakhir jentera ini sebelum produksinya ditamatkan. Pembaharuan yang dilakukan kebanyakannya meliputi aspek kosmetik.

Jentera produksi pasaran Jepun menerima pembaharuan istimewa dimana model “Revision 5” ini menerima enjin 3S-GE BEAMS Dual VVT-i yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 197hp dan daya kilas sekuat 216Nm. Hanya jentera produksi pasaran Jepun yang menerima enjin ini. Pasaran lain tiada.
πππππ πππππ ππππππππππ ππππππ πππππππ πππππ ππππ ππππ πππππ πππππ
Toyota MR2 SW20 Turbo “Revision 3” dilengkapi dengan enjin 3S-GTE yang telah dinaiktaraf kuasanya menjadi 242hp dan mempunyai daya kilas sekuat 302Nm. Dengan kuasa yang kuat ini enjin ini memacu jentera yang mempunyai berat sekitar 1,250kg sahaja. Nilai “Power to Weight Ratio” adalah pada kadar 0.1936hp bagi setiap kilogram.
Hasil daripada resipi ini, jentera ini mampu memecut sepantas 13.1 saat pada jarak 1/4 batu(1,320 kaki / 402 meter). Masa yang dicatat ini adalah lebih pantas dari Honda NSX, Toyota Supra RZ dan juga Ferrari 348.
Padu tak padu ? Dengan harga yang jauh lebih murah dari semua jentera yang disebutkan ia mampu menapau catatan masa 1/4 batu. Jentera “Stock” ye Tuan-Tuan. Bukan yang sudah dimodifikasi.
βππππππ ππππππππππππβ
Walaupun mempunyai konfigurasi enjin di tengah, namun jentera ini mempunyai berat yang bias ke belakang. Nilai “Weight Distribution” jentera ini ialah 46% di hadapan dan 54% di belakang.
Oleh itu, pengendalian jentera ini berbeza dengan jentera biasa yang berenjin depan. Perkara ini juga membantu jentera ini supaya mudah dikawal ketika selekoh dimana ia mudah mengalami “Snap Oversteer” dimana situasi ini berlaku ketika “Load Transfer” ketika pemandu menekan brek.
Jika diambil contoh, pengendalian jentera ini mirip dengan pengendalian jentera Porsche.
πππππ ππππ πππππ ππππ & ππππ
Jentera ini digunakan oleh pihak Toyota bagi bersaing di dalam kejohanan “Japanese Grand Touring Championship”(JGTC). Kejohanan JGTC merupakan kejohanan peringkat tertinggi di Jepun. Pihak Toyota percaya bahawa cesi Toyota MR2 SW20 sesuai untuk digunakan di kejohanan permotoran peringkat tertinggi.
Jentera ini memasuki kategori GT300 dimana kategori ini menghadkan setiap jentera dari menghamburkan kuasa lebih dari 300hp. Okeh itu, setiap jentera yang bertanding memiliki kuasa enjin yang lebih kurang sama. Ini bagi memastikan perlumbaan dilakukan dengan adil dan saksama. Yang lain cuma pengendalian dan juga kemahiran pemandu.
Jentera ini memenangi kejohanan JGTC di dalam kategori GT300 pada sesi 1998 menerusi pasukan Team Taisan bersama pemandunya Keiichi Suzuki dan Shingo Tachi. Jentera ini menewaskan jentera seperti Porsche 993 RSR, Porsche 911 GT2, Ferrari 355, BMW E36 M3, Mitsubishi FTO, Nissan Silvia S14, Subaru Impreza GC4, Mazda RX7 FD3S dan Mazda Roadster NA.

Pada tahun 1999, jentera ini memenangi kejohanan JGTC kategori GT300 sekali lagi menerusi pasukan Momocorse Racing Team bersama pemandunya Morio Nitta dan Shinichi Takagi. 2 tahun berturut-turut menang Tuan-Tuan. Apa lagi yang hendak dibuktikan ?
Mungkin ada yang berpendapat, jentera dan “Modify” boleh lah menang. Habis tu ? Jentera lain stock keluar kilang ke ? Hahaha ! Kemenangan ini meletakkan jentera ini sebagai lagenda “Touring Car Championship”.
Jadi Tuan-Tuan, ini lah sedikit sebanyak yang kami dapat kongsikan fakta menarik tentang Toyota MR2 SW20 ini. Sejujurnya, jentera ini juga sedang mendaki harganya seiring dengan model-model JDM yang lain.
Carian di atas talian mendapati jentera ini wujud di Malaysia dan dijual dengan harga bermula dari RM68,000. Transaksi semestinya secara tunai. Jentera ini mempunyai keunikan tersendiri disamping reputasinya di litar lumba. Oleh itu, ia menjadi pilihan bagi peminat di seluruh dunia untuk dijadikan sebagai simpanan.
Akhir kata, mana lagi nak jumpa kereta murah enjin tengah, pacuan roda belakang dan mampu kalahkan Ferrari & Honda NSX dalam perlumbaan 402 meter ? Toyota MR2 SW20 lah jawapannya. Varian terbaik ? Toyota MR2 SW20 Turbo Revision 3.

