Buletin

MERCEDES-MAYBACH S 580 4MATIC DILANCARKAN. 503HP, KABIN SUPER MEWAH, BERMULA RM1.9 JUTA 

Mercedes-Maybach, sub jenama paling mewah Mercedes-Benz hari ini melancarkan Mercedes-Maybach S-Class ke pasaran tempatan. Pengenalan itu mengukuhkan lagi nama Mercedes-Benz dalam kalangan pemilik kenderaan mewah di negara ini.

“Mercedes-Maybach merupakan kemuncak kepada kecemerlangan automotif Mercedes-Benz.

“Ketika kami meraikan ulang tahun ke-100 warisan Maybach yang unik, kami kekal komited untuk memacu jenama ini dan menetapkan standard paling tinggi dari segi gaya, keselesaan dan kualiti pertukangan luar biasa,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Sagree Sardien.

Mercedes-Maybach S-Class S 580 4MATIC baharu menyerlahkan kemewahan dengan pelbagai ciri eksklusif yang memang sesuai untuk pemiliknya.

Penampilan sedan ini diserlahkan dengan gril Maybach krom yang besar dan diapit oleh sepasang lampu utama Dugital Light LED. Harus tahu ia merupakan lampu paling canggih yang ada di pasaran sekarang.

Jentera tersebut dibezakan kemasan cat dua tona dengan garis pemisahnya dilukis menggunakan tangan. Sudah pasti, kemasan cat itu adalah pilihan yang hadir dengan kos tambahan.

Eksklusiviti Mercedes-Maybach S-Class dijelaskan lagi dengan logo pada tiang C, hadapan dan belakang sedan ini. Jentera itu mempunyai tapak roda 18cm lebih panjang berbanding varian panjang Mercedes-Benz S-Class.

Masuk ke dalam kabin, anda dialu-alukan dengan lima skrin berdefinisi tinggi. Pemandu dihidangkan dengan kluster meter 3D bersaiz 12.3 inci yang memaparkan pelbagai maklumat penting pemanduan.

Konsol tengah pula dihuni paparan OLED bersaiz 12.8 inci yang menawarkan pandangan yang jelas tidak kira dari sudut mana anda melihatnya. MBUX (Mercedes-Benz User Experience) generasi kedua menawarkan ciri unik dari segi ketersambungan.  

Sebagai sebuah kenderaan untuk golongan kayangan, ruang tempat duduk belakang Mercedes-Maybach S-Class sangat mewah.

Bagi memberi kesenyapan terbaik di dalam kabin, ia hadir dengan ciri pembatalan bunyi bising aktif. Lampu ambien yang boleh ditukar warna membuatkan ruang ini cukup menenangkan. Pintunya pula boleh ditutup dengan hanya menggunakan pergerakan tangan.

Buat pertama kalinya, penumpang boleh menggunakan extender tali pinggang keledar. Jadi ia mampu menawarkan posisi yang terbaik kepada sesiapa sahaja.

Jentera berkenaan dikuasakan oleh enjin petrol lapan silinder yang diintegrasikan bersama sistem elektrikal 48 volt dan mild-hybrid starter-alternator (ISG) generasi kedua.

Enjin bersesaran 4.0 liter itu mampu menjana kuasa sehingga 503hp dan tork 700Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik 9-kelajuan. Gabungan tersebut membolehkannya memecut sehingga 250km/j dan mencatat kelajuan 0-100km/j dalam masa 4.8 saat sahaja.

Ciri DYNAMIC SELECT membolehkan pemandu memilih karekteristik rangkaian kuasa, ESP, suspensi dan stereng.

Kalau berminat, Mercedes-Maybach S-Class S 580 4MATIC boleh anda miliki pada harga bermula RM1.928 juta seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button