Artikel Pilihan

8 TANDA PAM BAHAN API KERETA ANDA BERMASALAH

Isu ini dimulakan dengan kereta Perodua Myvi dan diikuti oleh Perodua Aruz. Ketika ini penulis merasakan isu ini hanya melibatkan kes terpencil atau lemon unit yang jarang – jarang berlaku. Sehinggalah masalah fuel pump ini melibatkan beberapa jenama besar yang lain seperti Toyota, Lexus dan juga Mazda. Setakat ini pengeluar telahpun memanggil semula beberapa model kereta yang terlibat untuk penggantian.

Semua kereta yang menggunakan enjin pembakaran dalam dilengkapi dengan fuel pum bagi menghantar petrol atau disel dari tangki terus kepada enjin. Bahan api ini biasa disimpan di bahagian belakang kereta perlu dihantar dengan tekanan yang sesuai. Jika fuel pump gagal berfungsi, ia akan mengakibatkan beberapa masalah seperti di bawah

1. Bunyi motor berpusing atau berdengung kuat – biasa ketika enjin dihidupkan terdapat bunyi seperti motor akan dihidupkan dan kemudian akan hilang. Namun bagi pam bahan api yang rosak, ia akan menghasilkan bunyi yang sangat kuat lebih daripada biasa.

2. Susah untuk hidup – pam bahan api akan sentiasa beroperasi sebaik sahaja enjin dihidupkan, namun bagi unit yang bermasalah enjin akan susah untuk dihidupkan terutama pada waktu pagi. Mungkin ia memerlukan anda menghidupkan enjin beberapa kali sebelum ia berfungsi dengan normal

3. Bunyi enjin yang tidak normal pada RPM yang tinggi – bagi enjin dengan pam bahan api yang OK, jika enjin beroperasi pada RPM tinggi anda akan mendengar bunyi enjin semakin lama semakin nyaring. Namun bagi enjin dengan masalah pam bahan api, bunyi enjin akan terganggu sedikit seolah-olah ia tidak mendapat bahan api yang cukup pada RPM tinggi (sputterring)

4. Enjin mati ketika suhu panas – salah satu tanda pam bahan api anda bermasalah ialah ia akan mengakibatkan operasi enjin terhenti ketika suhu enjin meningkat naik tanpa sebarang sebab yang kukuh. Keadaan ini biasa terjadi pada pam bahan api yang telah mengalami kehausan pada bilah pam.

Bagi kereta yang dilengkapi dengan fungsi Start-Stop, enjin akan gagal dihidupkan selepas dimatikan secara automatik di persimpangan lampu isyarat. Memang jimat terus minyak

5. Kehilangan kuasa – jika anda perlu memotong atau mendaki bukit, kita akan menekan pedal rapat ke lantai bagi mendapatkan lebih banyak kuasa enjin. Namun bagi enjin dengan pam bahan api bermasalah, pam gagal menghantar bekalan bahan api yang cukup sehingga menyebabkan enjin terasa kehilangan kuasa.

6. Kereta memecut dengan tiba-tiba – jika pam bahan api tersumbat dengan kotoran pula, ia gagal membekalkan bahan api dengan tekanan yang sesuai pada enjin sehingga enjin menjadi lemau. Tapi jika ditekan dengan kuat sedikit, kereta terus memecut ke depan dengan tiba-tiba menjadikan anda sukar untuk mengawal kereta dengan baik

7. Penggunaan bahan api meningkat – pam bahan api gagal untuk berfungsi dengan sempurna menyebabkannya gagal menghantar bahan api yang ideal untuk kegunaan enjin. Keadaan ini menjadikan penggunaan bahan api kereta meningkat dengan mendadak.

8. Enjin tak boleh dihidupkan langsung – berbeza dengan masalah bateri dimana motor penghidup gagal dihidupkan (bunyi crank yang lemah), jika pam bahan api yang rosak akan menyebabkan motor penghidup beroperasi namun enjin masih gagal untuk hidup disebabkan tiada bahan api yang sampai pada enjin.

Google ads
Back to top button