Buletin

8 UNIT TESLA DI SWEDEN HANGUS TERBAKAR ANGKARA KHIANAT. KERUGIAN LEBIH RM2 JUTA

Kalau anda perasan, Tesla merupakan kereta yang sering menjadi mangsa khianat. Sudah terlalu banyak laporan yang menunjukkan kereta Tesla dicalar, pengecajnya dicabut dan sebagainya. 

Perbuatan khianat tersebut dilihat semakin berleluasa selepas Tesla memperkenalkan ciri Sentry Mode pada kenderaannya. Lebih membingungkan, semua insiden itu berlaku tanpa sebarang bentuk provokasi oleh sesiapa pun.

Sehingga kini, punca individu yang melakukan perbuatan itu masih kekal misteri. 

Terbaharu, kira-kira lapan unit kereta Tesla dikatakan telah dibakar di sebuah bilik pameran di bandar Malmo, Sweden. Menurut media tempatan, kereta-kereta tersebut diparkir agak jauh di antara satu sama lain. Jadi, adalah mustahil untuk ia terbakar dengan sendiri secara serentak. 

Jadi, ketua pasukan bomba, Magnus Kohlin menyimpulkan bahawa kereta-kereta itu sebenarnya dibakar oleh individu tidak bertanggungjawab. Dia bagaimanapun tidak menyatakan sama ada kereta itu sedang dicaj atau tidak ketika kebakaran berlaku.  

Memandangkan jentera yang terbakar itu merupakan kereta elektrik, bomba terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga tambahan, terutama melibatkan asap yang dihidu semakin operasi pemadaman api dijalankan. Arahan sama turut dikeluarkan kepada penduduk berhampiran. Setakat ini, tiada sebarang kecederaan dilaporkan. 

Jumlah kerugian masih belum dapat ditentukan. Namun, kerugian dianggarkan melebihi AS$500,000 (RM2.07 juta) kerana kebanyakan kereta yang terbakar ialah Model S. 

Google ads
Back to top button