Buletin

PEKERJA JUJUR SELAMATKAN TESLA DARIPADA SERANGAN SIBER PENGGODAM RUSIA

Gigafactory Tesla di Nevada, Amerika Syarikat (AS) nyaris menjadi mangsa serangan siber oleh penggodam dari Rusia. Namun, rancangan jahat itu berjaya dipatahkan oleh seorang pekerja yang jujur. 

Teslarati melaporkan bahawa pihak FBI telah menahan dan mendakwa seorang warga Rusia, Egor Igorevich Kriuchkov selepas cuba untuk merekrut dan merasuah seorang pekerja untuk menggodam sistem komputer kilang berkenaan. 

Semuanya bermula apabila Kriuchkov menggunakan aplikasi Whatsapp untuk menghubungi seorang pekerja Tesla yang boleh bertutur bahasa Rusia dan mempunyai akses ke atas sistem komputer Tesla. Mereka sebelum ini pernah berjumpa pada pada tahun 2016. 

Kriuchkov dan beberapa orang rakan lain bercuti ke Lake Tahoe. Agak mencurigakan apabila dia enggan dirakam dalam sebarang foto. Selepas percutian itu, dia meminta pekerja sama untuk berjumpanya dan berbincang tentang satu ‘peluang perniagaan.” 

Pada ketika itulah Kriuchkov memberitahu rancangannya untuk mencuri data daripada kilang Nevada. Dia kemudian meminta pekerja terbabit memasukkan perisian malware berbahaya yang disediakan dan pasukannya akan masuk ke dalam sistem Tesla. 

Malware tersebut akan memulakan satu ancaman dikenali sebagai distribruted denial of service attack (DDOS) yang membolehkan penggodam mencuri data sensitif dan memuat naik ke satu pelayan. Penggodam itu kemudiaan mengugut akan mendedahkan data itu kepada umum, kecuali Tesla membayar wang tebusan. 

Sebagai balasan, pekerja itu akan dibayar sebanyak AS$500,000 (RM2.08 juta) dalam bentuk tunai atau bitcoin. Tawaran tersebut kemudian naik kepada AS$1 juta (RM4.16 juta). 

Tanpa dia tahu, pekerja Tesla itu melaporkan serangan siber tersebut kepada Tesla yang kemudian menghubungi FBI. FBI memantau komunikasi Kriuchkov  untuk mengetahui modus operandinya.

Dalam satu perbualan, dia bercakap besar bahawa syarikatnya telah berjaya mendapatkan wang tebusan sebanyak AS$4.5 juta (RM18.7 juta) daripada sebuah syarikat pengurusan pelancongan, CWT Travel. 

Pada 19 Ogos, pekerja itu bertemu sekali lagi dengan Kriuchkov. Dalam pertemuan itu, suspek bersetuju untuk membuat bayaran permulaan berjumlah AS$11,000 (RM45,800). Beberapa hari kemudian, Kriuchkov memberitahu serangan tersebut ditangguhkan dan dia tidak akan menerima sebarang bayaran sehingga diberitahu kelak. 

Suspek juga memberitahu dia akan ke Los Angeles dan dilihat cuba meninggalkan AS. Akhirnya, Kriuchkov berjaya ditahan pada 22 Ogos dan kini sedang menunggu perbicaraan. Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman  penjara sehingga lima tahun. 

Dengar macam plot filem jenayah kan, tetapi Elon Musk mengesahkan cubaan serangan itu. Harap-harap pekerja yang jujur itu akan dapat naik pangkat atau ganjaran setimpal.   

Google ads
Back to top button