Buletin

9 NAMA DIPILIH DARI LEBIH 10 RIBU CADANGAN UNTUK SUV BAHARU SEAT

Ingat tidak sebelum ini kami ada memaparkan artikel mengenai SEAT yang mengajak orang ramai mencadangkan nama untuk SUV terbarunya?

Ini adalah perkembangan terbaru. Memandangkan cadangan nama ini terbuka kepada penduduk bumi (maaf Adu Du, Ejo Jo dan lain-lain), ia telah berjaya menarik minat lebih dari 130,000 orang dari 106 buah negara.

Berapakah jumlah nama yang diberi? 10,130 dan dari situ sebanyak sembilan nama di senarai pendek ke peringkat akhir program #SEATseekingName ini.

Berikut ialah senarai nama disenarai pendek: 

  1. Abrera
  2. Alboran
  3. Aran
  4. Aranda
  5. Avila
  6. Donosti
  7. Tarifa
  8. Tarraco
  9. Teide

Nama-nama tersebut bukanlah main petik sahaja atau dijual oleh Bago go di mana ia sebenarnya telah melepasi tiga pusingan tapisan oleh pakar dari SEAT, agensi penamaan dan juga agensi industri dan harta intelek.

Di bawah ialah kriteria yang diambil kira untuk program ini:

  1. Nilai jenama dan karakteristik produk: Ia mestilah serasi dan mempunyai nilai untuk SEAT dan SUV bersaiz besar ini. SUV yang akan dilancarkan adalah ketiga selepas Ateca dan Arona.
  2. Kriteria linguistik: Selepas itu, senarai nama akan dinilai sama ada ia senang disebut dalam pelbagai bahasa dan juga konotasi positif yang ada. Pakar dari agensi penamaan akan membuat analisa ini.
  3. Undang-undang. Akhir sekali, senarai nama akan diperiksa di peringkat global sama ada ia telah didaftar oleh jenama lain di lokasi di mana SEAT mempunyai kehadiran. Pada peringkat ini, pakar industri dan harta intelek akan terlibat sama yang merupakan sesi terakhir.
Seat Ateca

Bermula dari sekarang , SEAT akan menganjurkan beberapa sesi kumpulan fokus di pasaran-pasaran utama ia beroperasi dan juga melakukan ujian di beberapa buah negara pasaran untuk memilih tiga nama terakhir.

Kemudian, SEAT akan mengumumkan nama-nama yang terpilih semasa sidang akhbar pada 12 September sempena Pameran Kenderaan Frankfurt. Dari tarikh tersebut sehingga 25 September, orang ramai boleh mengundi nama yang digemari di laman web khusus untuk program penamaan ini.

Nama yang paling banyak diundi akan digunakan pada SUV baharu SEAT dan lebih menarik, ini adalah program pertama seumpamanya sepanjang penubuhan syarikat automotif dari Sepanyol itu.

Penamaan model mengikut lokasi setempat di Sepanyol sudah menjadi tradisi buat SEAT sejak tahun 1982 lagi yang bermula dari Ronda sehinggalah Arona yang dilancarkan pada 26 Jun lepas di Barcelona.

Google ads
Back to top button