Buletin

911 UNTUK DIPANDU, BUKAN BELI & JUAL – BOS PORSCHE 

Bagi golongan berduit banyak sehingga tidak tahu nak buat apa, membeli kereta-kereta yang mempunyai nilai tinggi untuk dijual pada masa depan dilihat sebagai satu bentuk pelaburan yang bagus.

Antara model yang menjadi pilihan ‘peniaga’ seperti ini ialah Porsche 911. Namun, perkembangan pasaran spekulasi itu nampaknya tidak menyenangkan pihak atasan Porsche.

Apatah lagi apabila timbul berita bahawa sebuah 911Rs telah dijual semula pada harga hampir AS$1 juta (RM4.27 juta). Tidak mahu situasi ini terus berleluasa, Porsche baru-baru ini mengumumkan bahawa ia mahu memastikan pembeli tidak melihat model Porsche GT sebagai satu pelaburan.

Porsche memantau mereka yang menjual dan membeli kereta ini dengan serius. Pengeluar kereta itu tidak menghasilkan terlalu banyak kereta dan kenal kebanyakan pelanggannya. Jadi, ia mungkin akan mendapatkan senarai nama sebelum setiap kereta dihasilkan.

“Jika anda dikenal pasti membeli dan menjual kereta, maka faham sendiri sekiranya anda tidak akan disenaraikan untuk pembelian seterusnya. Ini bukan satu bentuk hukuman, tetapi strategi.

“Matlamat mengehadkan jumlah kereta bukan untuk menaikkan nilainya,” kata Ketua Divisyen GT Porsche, Andreas Preuninger kepada laman web Car and Driver baru-baru ini.

Sebagai contoh, Porsche didakwa hanya akan menghasilkan 3,500 unit GT3 2018. Ia juga bakal menawarkan Touring Package untuk model GT3 baharu. Porsche sebenarnya sudah mempunyai satu program VIP yang memantau pembelian kenderaan khas keluarannya dan ia dilihat bakal diperkemaskan.

Preuninger tidak memberi komen apabila ditanya mengenai sebuah 911 GT2 dilelong pada harga AS$1.45 juta (RM6.19 juta). Tetapi, komennya merujuk kepada model 911 R. Apabila model itu mula dijual, para pengumpul membeli super coupe edisi terhad tersebut. Tidak lama kemudian, ada yang menjualnya pada harga lebih AS$1 juta (RM4.27 juta).

Kini, Porsche ada menawarkan 911 GT3 manual, harga 911 R jatuh dan pelanggan yang membelinya marah. Tetapi Preuninger tidak peduli. “Apabila saya cakap kami bukan sebuah badan lindung nilai, saya merujuk kepada mereka yang marah kepada kami kerana menawarkan varian manual R.

BACA: SDAP LANCAR PORSCHE 911 – BERMULA RM870,000!

“Kami mahu jual kereta kepada mereka yang benar-benar mahu memandunya. Saya fikir tindakan ini adil. Saya tidak suka orang mengambil kesempatan dengan membeli kereta kami dan mendapat keuntungan,” katanya.

Google ads
Back to top button