POLIS TRAFIK KENA LANGGAR MOTOR TAK BUAT LAPORAN SEBAB KESIAN
Seorang anggota polis trafik yang dilanggar oleh seorang penunggang motosikal di susur Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) menghala ke Persiaran Kewajipan, Subang Jaya Selangor pada Khamis lalu tidak membuat laporan atas dasar simpati.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, dalam kejadian pada jam 7.20 pagi, seorang anggota trafik sedang menjalankan tugas di lokasi telah dilanggar oleh penunggang motosikal jenis Yamaha Y15 yang hendak memasuki susur tersebut.
“Kedua-dua individu itu tidak mengalami kecederaan dan tiada kerosakan pada kenderaan.
“Atas dasar simpati kepada penunggang motosikal tersebut dalam situasi yang dihadapi, maka anggota trafik terbabit tidak membuat sebarang laporan polis terhadap kemalangan yang berlaku. Sebaliknya beliau meneruskan tugas di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Abd Khalid berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan masyarakat terhadap kejadian yang menimpa anggota polis terbabit.
“Semoga hubungan ini mencerminkan silaturahim yang erat antara polis dan masyarakat, sekali gus mewujudkan persekitaran selamat,” katanya.
Khamis lalu, satu klip video berdurasi 28 saat memaparkan insiden kemalangan melibatkan seorang anggota trafik dilanggar oleh penunggang sebuah motosikal tular di media sosial. Insiden itu turut menerima banyak reaksi daripada netizen yang menasihatkan penunggang motosikal lebih berhati-hati di jalan raya. – Sinar Harian