Buletin

ALEX ZANARDI, PEMEGANG PINGAT EMAS PARALIMPIK AKAN MEMANDU UNTUK BMW DI PERLUMBAAN 24-JAM DAYTONA

Minggu lepas BMW telah mengumumkan yang bekas juara CART, bekas pemandu F1 dan juara para-cycling paralimpik, Alex Zanardi akan memandu BMW M8 GTE dalam perlumbaan 24-jam Daytona musim 2019. Zanardi merupakan antara pelumba istimewa yang membuktikan kekurangan bukannya alasan untuk mengalah.

Mungkin ramai peminat permotoran sudah mengenali siapa Alex Zanardi. Beliau merupakan bekas juara perlumbaan CART dari tahun 1996-1998 sebelum menyertai Formula 1. Kemalangan yang dialami Zanardi di EuroSpeedway, Jerman pada tahun 2001 telah menyebabkan beliau kehilangan kedua belah kaki.

Bagaimanapun insiden itu tidak menghalang Zanardi daripada kembali berlumba semula 2 tahun kemudian dengan menyertai perlumbaan FIA World Touring Car Championship untuk pasukan BMW Team Italy-Spain dari 2003-2009.

BACA: SEBASTIAN LOEB BAKAL KEMBALI SEMULA KE WRC?

Bukan hanya perlumbaan kereta, Zanardi turut menyertai paralimpik dan menyertai London Paralympics 2012 dalam acara H4 ujian masa dan H4 perlumbaan jalanan sehingga berjaya merangkul pingat emas. Beliau turut merangkul pingat emas dan perak di Rio de Janeiro Paralympics 2016. Ini baru betul punya juara.

Kenapa tidak mulakan dengan musim 2018? Ini kerana Zanardi akan membuat persediaan sepanjang tahun 2018 untuk kejohanan tahun berikutnya. Antaranya ialah menguji sistem brek untuk BMW M8 GTE baru itu.

2018 merupakan musim pertama M8 GTE ini akan diperkenalkan jadi banyak pelarasan dan pembangunan yang perlu dijalankan.

Zanardi bukannya muka baru dalam BMW kerana beliau pernah menggunakan BMW Z4 GT3 dalam perlumbaan Blancpain Sprint Series 2014. Beliau juga pernah merangkul empat kejuaraan dalam perlumbaan WTCC selama lima musim dengan menggunakan BMW 3-series.

Selamat berjaya Alex Zanardi!

Google ads
Back to top button