Artikel Pilihan

8 SUPERCAR YANG DINAMAKAN SEMPENA SELEBRITI

Syarikat pengeluar supercar memang cukup suka menghasilkan model special editon. Mereka akan sentiasa mendapat keuntungan yang berganda hasil jualan model seumpama ini.

Pengumpul biasanya memang gemar dengan model-model yang terhad jumlahnya walaupun yang membezakan model ini dengan model biasa selalunya hanyalah skema cat yang unik, kemasan dalaman, logo edisi khas (ini wajib dan kalau model biasa pelekat pun dah cukup) dan kadangkala sedikit naik taraf pada bahagian enjin (biasanya tak buat pun).

Bagi edisi yang lebih istimewa pula ia akan dinamakan sempena dengan nama sesorang yang cukup penting contohnya seorang pelumba hebat ataupun lagenda dunia permotoran. Siapa mereka? Kereta apa? Adakah Pagani edisi Pak Amid akan menyusul?

Teruskan membaca.

Pagani Huayra BC (Benny Caiola)

Rasanya ramai yang dah tau yang Horatio Pagani membangunkan syarikat beliau daripada kosong (bukannya dengan skim pinjaman kerajaan yang ramai tak bayar balik). Beliau berhijarah dari Argentina sebelum bekerja dengan Lamborghini dan kemudian menjadi perintis kepada syarikat pembekal gentian karbon.

Bila pintu Pagani Automobili dibuka pada tahun 1992 terdapat seorang lelaki yang cukup mengkagumi impian Pagani dan menjadi pelanggan pertama beliau dan namanya ialah Benny Caiola.

Hanya 20 unit dihasilkan dan kesemuanya menggunakan enjin AMG V12 turbo berkembar dengan kuasa maksima melebihi 750 hp. Bahagian suspensi, brek, rim, tayar dan aerodinamik turut dinaik taraf.

Huayra BC juga tidak berkongsi komponen yang sama dengan Huayra Coupe kecuali satu bahagian – bumbung. Harganya bermula pada sekurang-kurangnya RM6 juta!

Acura NSX Alex Zanardi Edition

Ada yang tak kenal Alex Zanardi ke? Zanardi pernah memenangi dua perlumbaan CART FedEx Championship dengan menggunakan jentera berkuasa Honda dan beliau juga merupakan bekas pelumba F1 selain pemenang kejohanan sukan paralimpik dunia.

Kedua kakinya terpaksa dipotong selepas mengalami kemalangan dalam tahun 2001. Pada tahun itu jugalah Acura mengeluarkan edisi khas supercar mereka dan menamakannnya Acura NSX Alex Zanardi Edition. Ia dihadkan kepada 50 unit dengan harga pada ketika itu sekitar RM360,000 (di AS bukan di Malaysia bang).

NSX Alex Zanardi ini adalah lebih ringan dan mempunyai suspensi yang lebih agresif berbanding NSX standard. Motor Trend menyifatkannya sebagai NSX dengan kawalan terbaik pernah dihasilkan.

Habis tu takkanlah kita yang hari-hari bawa model edisi khas tempatan tak nak percaya.

Bugatti Veyron Ettore Bugatti

Tentu saja nama Bugatti akan muncul dalam senarai ini. Ia merupakan hypercar pertama yang paling berjaya sejak dilancarkan dan walaupun ia sudah digantikan dengan model baru ia akan sentiasa menjadi ikon.

Dimiliki oleh VW Group, syarikat tersebut dikatakan kerugian sekitar RM26 juta untuk setiap Veyron yang terjual dan untuk mengimbangi kerugian tersebut mereka akan mengeluarkan edisi khas dengan kos yang tidak banyak berbeza. Satu daripada model tersebut ialah Veyron Ettore Bugatti 2013.

Ia dinamakan sempena dengan nama perintis syarikat, Ettore Bugatti dan merupakan salah satu daripada 6 buah model edisi khas yang diberikan jolokan “Legends of Bugatti”.

Perbezaannya berbanding Veyron lain hanyalah dari segi kosmetik. Ye lah nak naik taraf apa lagi kalau ia sudah sebuah Veyron.

Ferrari Enzo

Rasanya dah cukup ramai yang kenal dengan model Ferrari yang dinamakan sempena dengan nama Enzo Ferrari.

Ia merupakan supercar keluaran awal tahun 2000 dengan enjin V12 inspirasi dari perlumbaan F1 yang mampu membawanya memecut sehinggalah 356 km/j.

Sebanyak 493 unit dihasilkan dan harganya ketika itu ialah sekitar RM2.8 juta. Kini ia dianggarkan bernilai hampir RM12 juta sebuah.

Pininfarina Sergio Concept

Walaupun sekadar model konsep, Pinimfarina Sergio ni kena ada kerana ia memang cukup cantik dan ia  sebuah Pininfarina yang dihasilkan sempena memperingati pengasas Pininfarina sendiri.

Beliau bukan sekadar pengerusi syarikat tetapi beliau juga seorang pereka hebat dan meninggal dunia pada tahun 2012.

Rekaan Pininfarina Sergio ini banyak diambil dari prototaip Ferrari Dino 1965, salah satu projek pertama beliau bersama Ferrari.

BACA: LAMBORGHINI SC18, 770 HP 720 NM, SEBUAH SAHAJA DI DUNIA

Akhirya mereka telah membina enam buah model dan kesemuanya telah dibeli oleh pelanggan-pelanggan bertuah. Sudah tentu model yang dijual mempunyai cermin hadapan dan bumbung untuk menjadikannya sah digunakan di jalan raya.

Lamborghini Gallardo LP 550-2 Valentino Balboni

Menjelang penghujung pengeluaran Lamborghini Gallardo, syarikat pengeluar supercar Itali tersebut mahu menunjukkan penghargaan kepada pemandu penguji mereka yang paling terkenal, Valentino Balboni dan hasilnya lahirlah Gallardo LP 550-2 Valentino Balboni.

Dihasilkan sebanyak 250 unit sahaja, edisi Balboni ini adalah model RWD (pacuan belakang) dan bukannya AWD seperti Gallardo biasa. Ini menjadikannya lebih ringan dan boleh juga dilengkapi dengan kotak gear manual 6-kelajuan.

Tanda pengenalan edisi Balboni yang paling mudah dilihat ialah garisan yang memanjang di tengah badan kereta dan logo di bahagian sisi siap dengan tanda tangan Balboni.

Maserati Alfieri Concept

Ini sebuah lagi model konsep yang sepatutnya memasuki proses produksi.

Maserati mendedahkannya buat pertama kali di Geneva Motor Show 2014 dan dinamakan sempena nama Alfieri Maserati, salah seorang pengasas syarikat.

Pada tahun 1914 Alfieri dan 5 lagi adik beradik beliau menubuhkan syarikat kereta terkenal ini dan dinamakan sempena nama keluarga mereka. Dah seratus tahun lebih umur Maserati ni.

Ia dikatakan akan dihasilkan menjelang 2016 tetapi telah ditunda sehingga ke 2020.

Pada mulanya ia dilengkapkan dengan enjin V8 tetapi berdasarkan trend semasa tidak mustahil ia akan menjadi sebuah model EV bila dihasilkan.

Mercedes-Benz SLR McLaren Stirling Moss

Sebelum McLaren menjadi McLaren Automotive, mereka pernah bergabung dengan Mercedes-Benz dan menghasilkan kereta yang cantik ini dari tahun 2003-2010.

Sebanyak 2,157 unit dihasilkan tetapi 75 darinya adalah sangat berbeza.

SLR McLaren Stirling Mossini didedahkan pada tahun 2009 dengan konsep sebuah speedster, tanpa bumbung dan cermin depan. Ia diinspirasikan dari kereta lumba Mercedes 300 SLR yang membawa Sir Stirling Moss menjadi juara Mille Miglia 1955.

Di bawah bonetnya yang panjang, SLR ini menggunakan enjin 5.4-liter AMG V8 supercharged 640 hp. 0-100 km/j hanya dicapai dalam masa 3.5 saat dan ia adalah 200 kg lebih ringan berbanding SLR standard.

Menariknya hanya pemilik SLR sahaja diberi kelebihan untuk membelinya. Jadi kalau anda memiliki C200K second hand pun, anda belum layak memilikinya.

Termasuklah Pak Amid sekali yang masih setia dengan Mercedes 123 – The Best or Nothing

 

 

Tags
Google ads
Back to top button