Buletin

ALFA ROMEO CASTAGNA VITTORIA YANG UNIK DIBUKA UNTUK BIDAAN, DIJANGKA LEBIH RM700 RIBU!

Dunia automotif tersangat luas dan suatu yang mustahil untuk mengenali sesebuah model sebagai contoh Alfa Romeo Castagna Vittoria.

Model buatan khas itu dibuka untuk bidaan oleh Car & Classic yang merupakan portal dalam talian terbesar Eropah untuk kenderaan klasik dan istimewa.

Dihasilkan pada 1994 oleh pembuat badan (coach builder) terkenal, Carrozzeria Castagna, model konsep itu dibangunkan dari Alfa Romeo 75 V6 tahun 1987 dan dibawa ke Pameran Kenderaan Geneva 1995.

Carrozzeria Castagna juga pernah menghasilkan satu daripada van mini pertama di dunia Alfa Aerodynamica pada 1913.

Diasaskan dari 75, Alfa Romeo Castagna Vittoria juga mirip SZ. Model unik itu digerakkan enjin 3.0 liter Busso V6 yang menghasilkan 255 kuasa kuda (hp) pada 5,740 rpm dan dipadan kotak gear lima kelajuan.

Suspensi dipertingkat dan menggunakan penyerap hentak Koni jenis sepaksi (coaxial) dan cakera brek Brembo enam omboh.

Badan asal Alfa Romeo 75 dibuat baharu, daripada badan berkotak menjadi lembut dan melengkung dengan panel badan aluminium yang membaluti struktur besi diketuk dengan tangan.

Rim asal diganti dengan set magnesium dari Tecnomagnesio dan tayar Pirelli.

Bahagian dalam juga diubah dan dipakaikan kulit hijau gelap dan Alcantara dan hiasan kayu yang memaparkan logo Vittoria. Ketulenan buatan Itali diteruskan dengan stereng Momo.

Kereta ini diberi nombor Car 0001 dan selain Geneva turut dibawa ke pameran berprestij lain.

Usia yang panjang tidak diterjemah kepada pemanduan dan hanya digunakan sejauh 2,500 kilometer dan banyak menghabiskan masa di dalam simpanan.

Turut dibekalkan pelbagai dokumen berkaitan termasuk buku panduan model asal.

Bidaan untuk Alfa Romeo Castagna Vittoria bermula dari 15 hingga 22 November dan dijangka dijual dari 125,000 pound (RM719,656) hingga 135,000 pound (RM777,253).

Google ads
"
"
Back to top button