Artikel Pilihan

ALIENO ARCANUM ADALAH HYPERCAR TERBARU DENGAN 5221 HP KUASA – BANYAK EKOR BETUL KUDANYA

Tentu ramai yang menyangka yang kereta ini cumalah hasil lakaran grafik artis dan cuma akan kekal sebagai imaginasi kereta masa depan. Tapi semua salah kerana kereta ini memang akan dihasilkan dan syarikatnya yang dikatakan akan mengeluarkannya memang wujud dan berpangkalan di Bulgaria!

Balik kepada istilah hypercar. Berdasarkan definisi sekarang hypercar mestilah mempunyai lingkungan kuasa antara 1,000 sehingga 2,000 hp. Contoh yang terbaik ialah Bugatti Chiron dengan 1,500 hp. Tapi bila sesebuah kereta sudah dihasilkan dengan 5,000 hp kuasa, ia bukan lagi sebuah hypercar malah ia sewajarnya digelar sebagai ultracar, kan?

Arcanum merupakan model sulung keluaran syarikat Alieno dan pihak syarikat menyatakan yang ia merupakan rahsia dalam rahsia. Sebuah model 2-pintu, 2-tempat duduk dan berkuasa elektrik (robotik) sepenuhnya. Ia bakal menjadi model pertama seumpamanya di dunia ini dan bukan, ia bukannya sebuah Lamborghini (tapi kami dah tenung tujuh lapan puluh kali kereta ni memang nampak macam Lambo, biaq pi lah).

Terdapat empat versi Arcanum bakal dihasilkan: RP5 dengan 5221 hp, RP4 (4351 hp), RP3 (3481 hp) dan RP2 (2610 hp). RP di sini merupakan singkatan kepada Raw Power dan bukannya Rupiah seperti yang biasa kita dengar.

BACA: BUGATTI CHIRON SPORT DILANCARKAN DI MALAYSIA – RM12.5 JUTA DAN UNIT INI SUDAH PUN DIJUAL!

Tapi alang-alang nak beli kereta hebat macam ni baik kita fokus kepada RP5 terus, buat apa nak beli model bajet kan kalau dah mampu. RP5 dikatakan mempunyai tork setinggi 8880 Nm! Jika itu masih belum cukup untuk membuatkan mulut anda ternganga, kelajuan maksimanya pula ialah hampir 490 km/j. Sekarang inipun jarak Kuala Lumpur ke Kota Bharu tak sampai 480 kilometer. Kalau ada highway mahu sampai dalam masa sejam (harap-harap tak ada lembu melepak atas jalan).

Kesemua ribuan kuasa kuda kereta ini dijana oleh bukan satu atau dua tetapi 24 buah motor elektrik yang ada padanya. 24 tuan-tuan, itu dah bersamaan dengan 2 dozen. Motor-motor elektrik ini juga mempunyai jangka hayat yang cukup panjang jika dibandingkan dengan enjin pembakaran dalaman biasa.

Keseluruhan kereta ini akan dihasilkan daripada gentian karbon secara monocoque termasuklah kesemua bahagian casis. Bahagian bawahnya pula akan diperkuatkan dengan Kevlar (material yang sama digunakan untuk menghasilkan pakaian kalis peluru).

Alieno menyatakan yang mereka akan turut menghasilkan versi khas untuk menyertai perlumbaan 24-jam Le Mans dan FIA WEC sebaik sahaja peraturan membenarkan mereka menyertainya.

Arcanum kini dibuka untuk tempahan. Setiap satu akan dibina dengan tangan dan komponen-komponen tertentu akan dihasilkan dengan mesin berteknologi tinggi Alieno di Bulgaria. Harganya akan bermula dari sekitar RM7.3 juta sahaja. Sudah tentu ia bukannya murah tambahan pula dengan teknologi pembuatan setanding makhluk asing (betul punya strategi pemasaran ni, makhluk asing kami tak pernah tengok tapi kalau pendatang asing memang biasa la).

Google ads
Back to top button