
ALKISAH PEUGEOT RCZ – SPORT COUPE YANG MASIH LAGI SEKSI SEHINGGA KE HARI INI
Suatu ketika lama dahulu, pengeluar kenderaan terkemuka dari Perancis, Peugeot pernah menghasilkan sebuah model sport coupe yang cukup seksi, Peugeot RCZ. Suatu perkara yang menarik ketika penghasilnnya, ini merupakan sebuah model yang dilihat sedikit berlainan daripada rekaan bahasa untuk model Peugeot ketika itu apatah lagi ini merupakan model yang pertama kalinya tidak menggunakan pangkal nombor sebagai nama seperti kelaziman seperti 207 dan juga 206.
Model Peugeot RCZ ini mula diperkenalkan ketika Frankfurt Motor Show 2007 sebagai model konsep dengan menggunakan nama Peugeot 308 RC Z. Namun ketika mula diperkenalkan secara rasmi di Frankfurt Motor Show 2009, ianya hanya dikenali dengan nama Peugeot RCZ dan dipasangkan melalui kilang pemasangan di Magna Steyr.

Selain daripada rekaannya yang agak seksi dan lain daripada kebiasaan sebuah model Peugeot, sport coupe ini menampilkan ciri khas rekaan bumbung kaca gelembung berganda yang lebih gelap. Tahukah anda bahawa ketika model Peugeot RCZ ini diimport masuk oleh pihak Nasim, ianya telah menukar ciri tersebut apabila ianya ditempah khas dengan cermin yang lebih cerah untuk bahagian belakang apabila sang penguatkuasa ketika itu kurang berkenan dengan cermin gelap walau pun ianya merupakan spesifikasi terus daripada kilang.
Sport Coupe yang mempunyai konfigurasi tempat duduk 2+2 ini menawarkan pilihan diantara enjin 1.6 liter turbo dan juga 2.0 liter diesel turbo. Ketika dibawa masuk ke Malaysia hanya terdapat pilihan enjin 1.6 turbo tetapi diberikan pilihan kotak gear auto enam kelajuan dan juga kotak gear manual enam kelajuan.

Walau pun mungkin ada yang berkata apa pasal kereta sport coupe ini tak pasang spoiler nak potong angin? Anda mungkin tersilap dengan tanggapan tersebut. Sebenarnya model RCZ ini mempunyai spoiler belakang yang aktif dimana ianya akan dikeluarkan dan berfungsi mengikut tahap kelajuan pemanduan.
Kalau pandu slow serupa cari rumah sewa di kawasan perumahan tak perlu keluar pun spoiler ini sebenarnya. Tapi untuk mengelakkan tohmahan orang ramai seperti tanggapan di atas, pemandu juga boleh membuat tetapan untuk mengeluarkan spoiler terus melalui kawalan butang dari dalam kabin.

Tahukah anda bahawa sebuah model berprestasi tinggi juga pernah dihasilkan apabila versi RCZ R dikeluarkan pada tahun 2011 dengan menggunakan enjin baharu 1.6 liter THP yang mampu menghasilkan kuasa 270 HP dan 330 Nm sekali gus menjadikan ianya sebagai model produksi yang paling laju daripada Peugeot ketika itu.
Oh ya tahukah anda bahawa ketika ianya dijual di Malaysia harganya boleh tahan mahal juga, sekitar RM219,000. Tapi setelah berbelas tahun, harga pasaran terpakai cuma di bawah RM50,000 sahaja. Boleh beli buat balik kampung musim Raya nanti. Bolehlah eksyen dengan makwe kan??