
ALPHARD MP PAS POTONG DI GARIS BERKEMBAR
Kenderaan milik Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary sekali lagi menjadi tular di media sosial selepas tersebar rakaman video memaparkan ia melanggar peraturan jalan raya.
Melalui rakaman tersebut kelihatan kereta jenis Toyota Alphard berwarna hitam dengan bernombor pendaftaran P 45 memotong kenderaan lain secara berbahaya.
Ia juga memotong di kawasan laluan bergaris kembar, menandakan ia bukan kawasan yang dibenarkan berbuat demikian.
Ketua Polis Daerah Setiu DSP Affandi Hussin berkata siasatan mendapati kenderaan itu dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga pemandu kepada bekas timbalan menteri terbabit.
Menurut Affandi kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang pada 2 Julai lalu di Kilometer 67, Kampung Pak Kancil, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, Setiu.
“Pada 3 Julai kira-kira jam 7 petang telah dikesan satu video di laman sosial Facebook yang telah ditularkan oleh pemilik akaun Facebook Abu Zaid Al-Harith.
“Video tersebut memaparkan sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna hitam dengan nombor pendaftaran P 45 telah memotong kenderaan lain di garisan berkembar.
“Pemandu telah memotong kenderaan lain di kawasan garisan berkembar disebabkan ingin cepat sampai ke destinasi yang dituju bagi mengelakkan daging korban rosak,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini. – Malaysiakini