
TOYOTA PRIUS MENANG JAPAN CAR OF THE 2023 – 2024, DELICA MINI RAIH DESIGN CAR OF THE YEAR!
Tarikan Toyota Prius terus menyerlah apabila diiktiraf sebagai Japan Car of the Year (JCOTY) 2023 – 2024.
Prius menang dengan jumlah besar iaitu 360 undi selepas jawatankuasa COTY Jepun memperkenalkan sistem undian yang memberikan 16 undi buat juri untuk dibahagikan kepada tiga pilihan terbaik mereka.
BMX X1 pula ditempat kedua dengan 150 undi dan turut memenangi anugerah Import Car of the Year. Menyusul di tempat ketiga ialah Honda ZR-V dengan 100 undi.
Prius generasi kelima diperkenal pada 16 November 2022 dan digerakkan nadi hibrid 1.8 liter 2ZR-FXE dan hibrid plug-in 2.0 liter M20A-FXS. Toyota turut menawarkan sistem pacuan semua roda E-Four.
Prius menonjol dengan rekaan depan yu tukul dan tiang A landai ke depan. Reka bentuk aerodinamik diterjemah kepada pekali seret Cd 0.27.
Di sebalik Prius baharu ini ada satu kisah menarik yang melibatkan saranan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Toyota, Akio Toyoda.
Menurut Ketua Jurutera Prius, Satoki Oya, Akio Toyoda menyarankan Prius dibersarakan dan dijadikan sebagai teksi. Generasi Prius dikeluarkan sejak 1997 dan sudah sampai ke penghujung.
Perancang produk, pereka dan jurutera Toyota berpendapat sebaliknya dan percaya nasib Prius boleh diubah dan merekabentuk semula dengan gaya segar dan meneliti rangkaian kuasa yang digunakan.
Hasilnya adalah sebuah Prius yang bergaya dengan prestasi lebih bagus dan penjimatan bahan api lebih baik. Prius juga menerima pujian daripada media Amerika Syarikat dan Eropah.
Edisi ke-44 anugerah Japan Car of the Year dianjurkan dan dijalankan oleh 39 wakil penerbitan automotif dan gaya hidup paling berpengaruh di Jepun dengan 60 juri setiap tahun.
Di dalam pusingan pertama undian pada awal November, para juri memilih sepuluh kereta terbaik untuk 2023.
Model yang tersenarai ialah Toyota Prius, Toyota Alphard, Nissan Serena, Honda ZR-V, Subaru Crosstrek, Mitsubishi Delica Mini, Abarth 500e, BMW X1, Maserati Grecale dan Volkswagen ID.4.
Untuk pusingan akhir undian, para juri berkumpul di litar Sodegaura Forest Raceway untuk menguji kelompok kereta tersebut sebelum memilih pemenang.
Walaupun reka bentuk Prius begitu menyerlah, Mitsubishi Delica Mini nampaknya lebih digemari dengan memenangi anugerah Design Car of the Year.
Nissan Serena dengan enjin e-Power 1.4 liter 3 silinder hibrid dan sistem bantuan pemanduan Pro-Pilot 2.0 menang anugerah Technology Car of the Year.
Anugerah Khas Jawatankuasa Penganjur diberikan kepada Japan Mobility Show yang sebelum ini dikenali sebagai Tokyo Motor Show.

























