FOTO INTIP: PROTON S50 SEDANG DIUJI DI TANJUNG MALIM – SAINGAN KEPADA HONDA CITY, TOYOTA VIOS
Seorang pembaca telah berkongsi beberapa foto memaparkan sebuah model Proton S50 (kod SS11) yang sedang melakukan pandu uji berdekatan kilang Proton di Tanjung Malim.
Terdahulu, foto intip model Proton S50 berpelekat samaran itu tampil dengan stereng di sebelah kanan (RHD), ketika sedang dipandu uji di kawasan Subang Jaya.
Berdasarkan Geely Emgrand generasi terkini, ia mempunyai dimensi 4,638mm (panjang), 1,820mm (lebar) dan 1,460mm (tinggi).
Model baharu berkenaan dibina menggunakan platform segmen-B Modular Architecture (BMA), sama seperti Proton X50, di mana platform itu menawarkan fleksibiliti, keselesaan dan kawalan pengendalian lebih baik.
Untuk rekod, platform ini boleh dikonfigurasi kepada pacuan roda depan sahaja atau pacuan semua roda.
Sedan segmen B itu dijangka akan bersaing dengan Toyota Vios dan Honda City.
Geely Emgrand di pasaran China dipacu oleh enjin 1.5 liter NA, berupaya menghasilkan 114hp dan 147Nm tork serta dipadankan bersama transmisi CVT.
Selain itu, terdapat pilihan janaan kuasa iaitu enjin 3 silinder 1500cc JLH 3G15T Port Fuel Injection, berupaya menghamburkan kuasa 148hp atau enjin 3 silinder 1500cc JLH 3G15TD Suntikan bahan api, menghasilkan 175hp.
Untuk harga pula, sudah pasti Proton mahu menjadikan model baharu ini diterima dengan baik di pasaran, setidaknya mampu menyaingi hasil jualan Proton Preve.
Sehingga pelancaran rasmi menjelang hujung tahun, kita hanya boleh menjangkakan Proton S50 diberi tanda harga di antara RM70,000 hingga RM100,000.