Buletin

ANA TAWAR PAKEJ PERKAHWINAN DALAM PESAWAT DAN TERMINAL. HARGA BERMULA RM58,000

Syarikat penerbangan All Nippon Airways (ANA) menawarkan majlis perkahwinan eksklusif di dalam pesawat berikutan pandemik Covid-19 menjejaskan pengembaraan antarabangsa.

Pakej berkenaan mula diperkenalkan pada bulan Mei lalu dan akan ditawarkan sehingga 13 Jun ini dilakukan dalam pesawat B-777 di lapangan terbang, Haneda.

ANA menawarkan pakej perkahwinan dalam pesawat mereka dengan bayaran sekitar 1.5 juta yen (RM58,759) , manakala majlis resepsi berasingan di bangunan terminal pula boleh ditempah pada harga  tiga juta yen (RM113,174).

Melalui pakej itu, ANA menyediakan persembahan muzik, pengumuman selamat pengantin baharu  oleh kru kabin dan pencahayaan khas yang memaparkan latar belakang galaksi pada dinding pesawat.

Menurut kenyataan syarikat, idea mengadakan majlis perkahwinan di  dalam pesawat adalah untuk menarik minat pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga tanpa membabitkan tetamu yang ramai.

Mei dan Jun adalah dua bulan yang biasanya menjadi pilihan kegemaran pasangan di Jepun untuk berkahwin.

Pada 23 Mei lalu, perkahwinan pertama di dalam pesawat ANA diadakan di kabin kelas perniagaan untuk pasangan pengantin dari Tokyo, Toru dan Mami Murakami.

Bagi pakej perkahwinan yang ditawarkan oleh ANA, hanya 30 orang boleh menghadiri majlis tersebut. – kyodonews

Google ads
Back to top button