
ANAK AHLI PARLIMEN GUNA POLIS PENGIRING, POLIS PULAU PINANG BUAT SIASATAN
Polis Pulau Pinang menjalankan siasatan terperinci berhubung satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki memandu sebuah kenderaan dan diiringi oleh dua anggota polis trafik menggunakan motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Bukit Gambir, dekat sini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya juga telah membuka satu kertas siasatan tatatertib ke atas dua anggota polis negeri itu susulan video yang tular di media sosial sejak semalam.
“Pada Sabtu (semalam) kira-kira 8.36 malam terkesan satu rakaman video yang tular berdurasi 20 saat, dimuat naik oleh pemilik akaun anwarazeez dan rakaman tersebut memaparkan seorang lelaki (orang awam) memandu sebuah kenderaan dan diiringi dua anggota polis trafik menggunakan motosikal milik PDRM.
“Pihak Kontinjen Pulau Pinang mengesahkan berkenaan kejadian yang berlaku di Jalan Bukit Gambir itu dan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi klip video itu yang dimuat naik di laman sosial Facebook, kelihatan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen.
Paparan video berkenaan mendapat kecaman warganet yang tidak berpuas hati dengan individu tersebut yang menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan jalan raya di Pulau Pinang.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, sudah tiba masanya khidmat polis pengiring kepada menteri, timbalan menteri atau wakil rakyat dimansuhkan kerana hanya membazirkan kerja PDRM.
Menurutnya, tidak kira siapa yang menjadi kerajaan, khidmat berkenaan perlu dimansuhkan.
“Kalau kamu mengejar masa, kamu sepatutnya merancang dan bersiap lebih awal atau membantu cari jalan penyelesaian masalah kesesakan lalu lintas supaya semua pengguna jalan raya boleh sampai ke destinasi dengan selesa. Tak perlu outrider,” katanya. – Harian Metro

