
APA ITU KUASA KUDA? KENAPA KUDA DAN BUKANNYA HARIMAU BINTANG ATAU GAJAH?
Macam mana nak menjelaskan tentang kuasa kuda? Tanyalah mana-mana peminat dunia automotif rata-ratanya akan mengangkat bahu ataupun mengelengkan kepala bila ditanya tentang definisi kuasa kuda.
Kenapa tidak kuasa gajah ataupun harimau yang lebih kuat? Ataupun jika kuda sekalipun, kuda lumba yang boleh berlari laju ataupun kuda yang digunakan untuk kegunaan di ladang yang mampu bertahan dengan kerja berat walaupun tidak boleh berlari laju.
BACA: BUGATTI CHIRON DENGAN 1,500 KUASA KUDA
BACA: TOYOTA CELICA 1000 KUASA KUDA
Malah ada kalangan kakitangan syarikat pengeluar kereta pun tidak tahu tentang kuasa kuda. Mereka melihatnya sebagai instrumen untuk melariskan jualan. Lebih tinggi kuasa kuda bermakna lebih ramai yang akan tertarik membelinya.
PENGIRAAN KUASA KUDA
Maksud sebenar kuasa kuda ialah beban tugas yang boleh dilakukan dalam satu masa. Mengikut definisi sebenar, satu kuasa kuda bersamaan dengan 33,000 (lb.ft) paun sekaki kuasa. Contohnya jika anda ingin mengangkat beban seberat 33,000 paun sekaki dalam masa satu minit, anda akan bekerja dengan kekuatan satu kuasa kuda.
Definisi kuasa kuda diperkenalkan oleh saintis terkenal James Watt (1736-1819). Pernah dengar tak nama beliau? Watt merupakan orang yang bertanggungjawab menghasilkan enjin berkuasa stim untuk kegunaan perindustrian dan namanya juga diabadikan sebagai unit ukuran kuasa. Pernah beli mentol lampu? Berapa watt yang biasa anda beli? Watt yang anda sebut ialah berasal dari nama James Watt.
Watt menghasilkan istilah kuasa kuda bertujuan memudahkan beliau memasarkan enjin-enjin keluaran beliau berdasarkan keupayaan enjin tersebut. Enjin-enjin tersebut telah menggantikan kuda-kuda sebelum ini sebagai sumber kuasa industri pada zaman tersebut.
Kebanyakan kuda yang memusingkan kisaran bagi menghancurkan gandum dan jagung akan bergerak dalam bulatan sejauh 75.4 kaki. Watt membuat pengiraan berdasarkan bebanan seberat 180 paun (anggaran gandum atau jagung yang dikisar).
Berdasarkan pemerhatian, beliau mendapati kuda tersebut membuat 144 pusingan dalam masa satu jam bersamaan dengan 2.4 minit untuk satu pusingan. Ini bermakna kuda tersebut bergerak selaju 180.96 kaki dalam masa seminit.
Kelajuan tersebut dibundarkan kepada 181 dan didarabkan dengan 180 paun bebanan tadi dan hasilnya ialah 32,580 paun sekaki beban per minit. Jumlah tersebut kemudian dibundarkan kepada 33,000 paun sekaki (lb.ft) yang kita gunakan sehingga sekarang.
Walaupun cara pengiraan standard ini sudah wujud lebih dari 200 tahun, sesetengah pengeluar kereta mempunyai cara yang bijak untuk memanipulasi keputusan ujian.
HELAH KUASA KUDA
Sewaktu persaingan jumlah kuasa kuda meningkat ada sekitar tahun 1960-an dulu, pengeluar telah menjalankan ujian dengan membuang beberapa peralatan sokongan seperti alternator dan pam air. Strategi ini memakan diri sendiri bila diketahui syarikat insuran yang mula mengenakan cas lebih kerana ia dikatakan berisiko.
Ada juga pengeluar yang sengaja mengeluarkan data kuasa kuda yang lebih rendah berdasarkan keadaan sebenar. Pada awal 70-an, Persatuan Jurutera Automotif (SAE) menetapkan piawaian ujian dan standard yang lebih menyeluruh untuk hasil yang lebih konsisten.
Mungkin anda pernah mendengar istilah “Brake Horsepower”. Ia merujuk kepada ukuran yang diambil ada sesebuah enjin ada tahap RPM tertentu (biasanya ketika pendikit ditekan sepenuhnya).
Satu kuasa kuda mekanikal bersamaan dengan 745.699 watt ataupun 0.746 kW (kilowatt) kuasa kuda elektrikal. Dengan kata lain sebiji mentol 20 watt yang ada dalam bilik tidur abang-abang semua mempunyai kekuatan 0.0268 kuasa kuda.
Anda faham? Kalau faham, kita lanjutkan pada perbincangan kedua nanti.




