
BENELLI MALAYSIA SAH LANCAR LEONCINO 500 PADA SEPARUH KEDUA 2017
Benelli Malaysia hari ini mengesahkan bahawa ia akan melancarkan motorsikal gayaan retro pada separuh kedua tahun 2017.
Leoncino dikuasakan oleh enjin empat lejang dwi silinder dengan sistem penyejukan cecair. Enjin bersesaran 500cc itu mampu menjana kuasa 35kW pada 8,500rpm dan tork maksimum 45Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan dan klac hidraulik.

Reka bentuk CentroStile Benelli itu dipadankan dengan sempurna bersama garis badan yang elegan. Fender hadapan, tangki dan tempat duduk penunggang dilekatkan dengan logo Singa Pesaro.
Leoncino menggunakan rim aloi 17 inci yang dibalut dengan tayar bersaiz 120/70-ZR17 di hadapan dan 160/60-ZR17 (belakang). Suspensi hadapan ialah jenis fork terbalik. Manakala tugas membrek diserahkan kepada brek ABS dengan cakera bersaiz 320mm (hadapan) dan 260mm di belakang. Peralatan digital dan lampu projektor dengan teknologi LED membuatkan jentera ini kelihatan cukup berkualiti tinggi.

Pengurus Besar Operasi Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., Asri Ahmad memberitahu Leoncino akan ditawarkan pada harga yang kompetitif. “Kami telah menerima tempahan lebih 6,000 unit motorsikal Benelli setelah pelancaran model moped pertama RFS150i, 302R dan motosikal kembara TRK502 pada awal April lalu,” kata Asri.
Pelancaran RFS150i membuatkan permintaan terhadap motosikal Benelli meningkat secara mendadak. Benelli Malaysia juga mengumumkan bahawa ia akan mengeksport dua model (RFS 150i dan TNT 135) ke Taiwan, Vietnam serta negara ASEAN lain.







