Buletin

VIDEO KOLEKSI TERBAIK ASTON MARTIN DI BAWAH SATU BUMBUNG

Awal bulan ini, Aston Martin telah berjaya membeli sebuah bekas pengkalan udara tentera udara di St. Athan, selatan Wales, Britain. Syarikat tersebut merancang untuk menukarkan pangkalan tersebut menjadi sebuah kilang pengeluaran yang akan menghasilkan model-model baharu termasuklah model crossver terbaru mereka, DBX dalam tahun 2019.

Memandangkan sekarang baru bulan April 2018, pangkalan udara yang luas itu tidak dibiarkan begitu sahaja. Aston Martin mengambil keputusan untuk menempatkan model-model terbaik keluaran mereka.

Video di atas memang  dirakamkan untuk hiburan dan pengiklanan walaupun nampak macam rancangan prank. Dalam video ini, dua orang pelumba Aston Martin dan ketua jurutera syarikat dilihat menyelinap masuk ke pangkalan tersebut tanpa disedari semua pengawal dan “membelasah” kereta-kereta yang ada di situ tanpa disedari sesiapa pun.

BACA: VIDEO TOYOTA 86 DENGAN ENJIN FERRARI

BACA: VIDEO RESTORASI SUZUKI GSX750F

Logik la sikit kan? Ini Aston Martin bukannya kereta-kereta kompak EEV keluaran tempatan. Bunyi ekzosnya pun dah cukup untuk membuatkan kita tak lalu minum teh tarik madu tongkat ali mamak.

Semestinya mereka akan mencuri pandu model-model terbaik Aston baik keluaran vintaj mahupun model perlumbaan termoden. Terdapat juga model-model kelas atasan seperti Vulcan dan One-77.

Itu belum campur model-model klasik James Bond seperti DB5 dan DB10. Dianggarkan harga semua kereta yang dipamerkan dalam video ini bernilai sekitar USD80 juta.

Tapi bukan semua model terbaik sahaja dipamerkan sebenarnya, terdapat juga model kelakar Aston yang ditampilkan sebagai cameo, Aston Martin Cygnet yang diasaskan daripada Toyota iQ. Kereta mikro ini mungkin mendapat tempat di hati Aston kerana ditampilkan bersama-sama dengan Aston Martin One-77 dan Vulcan di mana kedua-duanya membuat aksi donat di sekelilingnya.

Di penghujung video, kita juga boleh menonton sedikit imej model crossover terbaru, DBX. Ketiga-tiga pelumba dan ketua jurutera menyelak sedikit kain penutup yang menutup tiga model konsep terbaru Aston, DBX dan dua buah Valkyrie.

Sayangnya mereka tidak sempat membuka semua penutup kerana pada ketika itu, CEO Aston Martin sampai untuk memeriksa keadaan sekitar fasiliti (Eleh, memang ada dalam skrip pun).

Walaupun video pendek ini berakhir dengan gambar lakaran DBX, dan ia memang akan dikeluarkan di St. Athan, tidak mustahil model yang bertutup dalam video ialah DBX yang telah siap ataupun hampir siap.

Tetapi macam biasa, ini adalah Aston Martin, kereta-kereta yang setakat mampu tengok bagi majoriti rakyat Malaysia termasuk kami. Layan je untuk cuci mata, mana tahu tidur malam mimpi dapat Aston Martin sebiji.

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button