
APA JADI PADA ENJIN PROTON TGDi YANG BARU? BAGAIMANA PROTON-GEELY AKAN TERUSKAN PROJEK INI?
Salah satu isu yang dibangkitkan dalam sidang media semalam ialah mengenai masa depan enjin generasi baru Proton yang sedang diuji di Britain. Enjin yang dibangunkan sejak 2015 tersebut telah memulakan proses validasi pada tahun lalu dan menjalani ujian ekstensif sebelum bersedia dihasilkan untuk pengeluaran komersial.
Kerjasama Proton-Geely semalam mungkin mengubah sedikit haluan dari apa yang dirancangkan sebelum ini. Ketika ditanya wartawan, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar tidak dapat memberikan jawapan kukuh kerana ia memerlukan perbincangan lebih lanjut antara mereka.
Untuk makluman, butir-butir perjanjian Proton-Geely hanya akan dimuktamadkan pada bulan Julai nanti dan apa juga perkembangan mengenai enjin baru tersebut akan diketahui hanya selepas itu.
“Ia hanya sebahagian daripada konteks kerjasama yang berlangsung. Sudah pasti, kami akan meneliti perkara ini dan mengambilkira pendapat dari rakan baru kami”
BACA: PROTON-GEELY, TIADA PEMBERHENTIAN PEKERJA
Secara teorinya, Geely lebih memahami pasaran dari sudut perniagaan. Mereka melabur untuk mencapai kapasiti pengeluaran yang bersesuaian dengan kos. Sebagai contoh pada 2009, mereka telah membeli syarikat Drivetrain System International dari Australia, salah satu pengeluar sistem transmisi terbesar di dunia.
Pada hari ini, Geely sudah mempunyai hampir semua rangkaian enjin. Bermula dari 1.0 liter hingga 2.4 liter, rangkaian enjin GeTec baru mereka meliputi enjin petrol turbo TGDi, enjin disel dan kesemuanya sudah menepati piawaian Euro yang ketat. Secara teorinya juga, mereka akan mengeksploitasi sepenuhnya rangkaian enjin sedia ada untuk meningkatkan skala ekonomi.
PROTON TGDi
TGDi adalah salah satu daripada keluarga enjin baharu Proton yang dibangunkan bersama pengeluar enjin terkemuka, Ricardo Group dan Lotus. Dimulakan sejak Mac 2015, enjin baharu itu dikatakan lebih berkuasa (20 peratus), menjimatkan bahan api (purata 25 peratus lebih baik) dan rendah emisi berbanding enjin sedia ada Proton.
Ia melibatkan empat siri dengan enam varian enjin iaitu:
- 1.0L 3 silinder VVT (Variable Valve Timing)
- 1.2L 3 silinder VVT
- 1.3L 4 silinder GDI (Gasoline Direct Injection)
- 1.5L 4 silinder GDI
- 1.3L 4 silinder TGDI (Turbocharged Gasoline Direct Injection)
- 1.5L 4 silinder TGDI
Enjin 1.5L 4 silinder TGDI disifatkan sebagai varian enjin yang paling berkuasa. Ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 180hp dan tork 250Nm. Kuasa ini dikatakan cukup untuk menggerakkan model lebih besar seperti Perdana tanpa sebarang masalah.
Pembangunan enjin ini menelan belanja sebanyak RM600 juta serta menepati piawaian Euro 6C dan membolehkannya digunakan di banyak pasaran selepas tahun 2020.
Sebarang keputusan tentang pembangunan lanjut enjin ini hanya akan diketahui selepas perjanjian Proton-Geely dimuktamadkan bulan depan.