Artikel Pilihan

APA MAKSUD KENDERAAN TENAGA BARU & BELT STATOR GENERATOR PADA PROTON X90?

Proton telah pun mendedahkan secara rasmi model SUV 3 baris tempat duduk iaitu Proton X90 kepada umum. Selain diberikan pelbagai ciri menarik untuk pengguna, Proton juga menjanjikan penggunaan bahan api yang lebih efisyen dalam kategori Kenderaan Tenaga Baru.

Proton X90 masih menggunakan enjin 3 silinder 1500cc turbo dengan suntikan bahan api terus (TGDI) yang sama seperti digunakan pada Proton X70 dan juga Proton X50. Dalam varian turbo TGDI, enjin ini akan menjana sehingga 175 kuasa kuda dan 255Nm tork.

Sama seperti Proton X50 dan Proton X70, semua kuasa akan dihantar ke roda depan menerusi transmis klac berkembar 7 kelajuan DCT. Tapi perbezaan yang ada pada Proton X90 ialah ia datang dengan sistem mild hybrid 48 Volt atau dalam bahasa melayu sistem hibrid ringan 48 volt.

Sistem hibrid ringan 48 volt ini berupaya melonjakkan kuasa kepada 187 kuasa kuda dan 300Nm tork, iaitu gabungan dari kuasa enjin dan sistem hibrid ringan 48 volt. Bagi mencapai kuasa ini, Proton X90 dilengkapi dengan beberapa perkakasan (hardware) sistem hibrid seperti:

1. Belt Stator Generator – ada juga pengeluar lain yang menamakan komponen ini sebagai Integrated Stator Generator. Ia disambung kepada enjin menerusi tali sawat, menggantikan alternator dan mengecaj bateri sistem hibrid. Pada masa sama ia bertindak sebagai starter atau penghidup pada enjin

2. DC-DC Converter – bertindak sebagai transformer untuk menurunkan nilai volt daripada 48 volt kepada 12 volt arus terus untuk sistem kereta yang menggunakan voltan 12 Volt dan mengecaj bateri 12 volt

3. Modul bateri hibrid – dibina daripada ion lithium dengan operasi sistem 48 volt yang berada di bahagian belakang kereta.

4. BMS / Battery Management System – Sistem pengurusan bateri dimana operasi mengecaj dan melepaskan caj akan dikawal oleh modul Battery Management System

5. Recuperation Braking System – sistem yang bertindak untuk mengecaj semula bateri hibrid 48 volt dengan menggunakan kaedah brek regeneratif, tenaga kinetik tidak akan dibazirkan sebagai tenaga haba pada brek sebaliknya digunakan untuk mengecaj bateri

6. Sistem Kawalan Modul Hybrid – bertindak sebagai pusat operasi yang akan menyelaraskan semua komponen agak bekerja dengan harmoni

Semua komponen di atas ini berfungsi untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan menjadi lebih efisyen dengan kaedah berikut:

1. Enjin akan dimatikan sebaik sahaja kelajuan berkurang sehingga 15km/jam. Semua operasi sistem elektrik 12 volt akan terus beroperasi seperti biasa dengan kuasa dibekalkan daripada bateri hibrid 48 volt. Proses enjin dimatikan dan dihidupkan semula akan dibantu oleh sistem BSG, menjadikan operasi sangat lancar.

Anda tak perasan pun enjin mati atau hidup, malah enjin yang dimatikan lebih awal mengurangkan penggunaan petrol

2. Dynamic Boost -sistem BSG akan membantu Proton X90 memecut dari keadaan statik atau ketika pecutan dilakukan. Kuasa tambahan ini dibekalkan oleh bateri ion lithium 48 volt menerusi BSG, menghasilkan pecutan pantas dan mengurangkan beban pada enjin sekaligus mengurangkan penggnaan petrol

Bateri ion lithium 48 volt

3. Engine Off Sailing – merupakan terma yang digunakan untuk menggambarkan enjin akan dimatikan apabila Proton X90 dipandu dalam keadaan halaju malar dan tiada pecutan dilakukan. Pada ketika ini semua sistem elektrik kenderaana berfungsi seperti biasa dengan kuasa dibekalkan daripada bateri ion lithium 48 volt

4. Brek regeneratif – sebaik sahaja pemandu menekan brek, tenaga kinetik kenderaan akan ditukar menjadi tenaga elektrik melalui proses brek regenratif. Kuasa elektrik yang terhasil akan disimpan dalam bateri ion lithium 48 volt

Sistem hibrid ringan 48 volt yang akan diperkenalkan pada model Proton X90 nanti berupaya menghasilkan 10% lebih kuasa berbanding varian biasa, lebih menjimatkan bahan api sebanyak 15% dan sistem Start/Stop beroperasi dengan lebih senyap dan lancar berbanding dengan kaedah konvensional.

Google ads
Back to top button