,
Artikel PilihanBuletin

APAKAH KERETA MUSCLE? MODEL APA YANG LAYAK DIGELAR MUSCLE CAR TULEN?

Warga Amerika memang sukakan kelajuan. Kalau tak, takkan mereka minat gila dengan perlumbaan Daytona yang menggunakan litar yang macam donat kemek tu.

Tahun 60-an dan 70-an Amerika telah menghasilkan kereta-kereta muscle berenjin V8 yang cukup ganas dan laju tetapi tahun 80-an juga tidak kurang meriah dengan kereta-kereta yang hebat tetapi menepati piawaian bahan bakar yang lebih baik. Namun setiap model hebat mesti ada cerita yang menarik di sebaliknya.

FORD MUSTANG SHELBY GT500 1968

Mustang keluaran tahun 1965 dan 1966 merupakan idaman kepada ramai pengemar Mustang kerana ia ringan dengan olahan yang sederhana yang sesuai untuk kegunaan di litar lumba. Namun Mustang keluaran tahun 1967 dan 1968 mempunyai enjin yang lebih bertenaga menjadi pilihan untuk memenangi perlumbaan drag.

Buat pertama kalinya juga model Mustang tahun 1967 dan 1968 dibekalkan dengan enjin menggunakan blok yang lebih besar dan mampu menghasilkan 355 bhp kuasa maksima.

Mustang Shelby juga mempunyai skup udara dan gaya yang lebih menonjol berbanding model terdahulu untuk disesuaikan dengan pertambahan kuasa dan tork. Malah edisi KR (King of the Road) yang berprestasi tinggi turut ditawarkan ada tahun 1968.

CHEVY CORVETTE 1984

Generasi keempat kereta sports Amerika ini mempunyai tempoh pengeluaran yang cukup panjang (dari 1968 hingga 1982). Jadi bila masanya sudah sampai untuk GM melancarkan model baharu, banyak spekulasi muncul tentang Corvette C4 baharu itu.

Ada yang mengatakan ia bakal dipasangkan enjin di bahagian tengah (mid-engine) seperti model eksotik Itali dan ada yang menyangkakan ia akan menggunakan enjin rotary seperti Mazda (kuat bergosip jugak orang Amerika ni).

Akhirnya Corvette yang dihasilkan tidaklah radikal sangat pun. Ia menggunakan format enjin di depan dan pacuan roda belakang (FR). Enjin yang digunakan ialah unit V8 dengan blok yang kecil dan mampu menghasilkan sekitar 205 bhp sahaja.

Namun lima tahun selepas itu muncullah model Corvette ZR-1 dengan 375 bhp dan prestasi yang lebih baik untuk mengulang kehebatan Corvette tahun 60-an.

DODGE CHARGER DAYTONA 1969

Dodge Daytona 1969 dan saudaranya Plymouth Superbird 1970 merupakan kereta paling radikal yang pernah dihasilkan dalam perlawanan kereta-kereta muscle.

Namun Daytona sebenarnya bukanlah dihasilkan untuk perlumbaan jalanan, ia sebenarnya dihasilkan untuk perlumbaan Nascar di atas litar superspeedway yang panjang dan laju.

Bagi meningkatkan lagi kelajuan, para jurutera telah membawa Charger ke dalam terowong udara untuk mengujinya. Pengubahsuaian aerodinamik yang dilakukan padanya termasuklah spoiler belakang setinggi hampir dua kaki yang sungguh ikonik itu.

Bahagian hadapan juga turut dipanjangkan atas alasan yang sama. Hasilnya cukup menakjubkan kerana Daytona menjadi model pertama dalam sejarah Nascar yang berjaya memecahkan kelajuan 200 mph (320 km/j).

Selepas kemenangan Dodge dalam tahun 1969 dan Plymouth dalam tahun 1970, Nascar telah mengenakan sekatan kepada kereta-kereta ini. Kini ia menjadi kegilaan pengumpul dengan harga yang meroket tingginya.

PONTIAC FIREBIRD TRANS AM 1978

Menjelang penghujung tahun 70-an, kemeriahan dunia kereta-kereta menjadi sedikit pudar berikutan piawaian keluaran gas ekzos yang semakin ketat selain kenaikan harga petrol dan kos insurans. Ia menyebabkan kebanyakan pengeluar mengurangkan kuasa enjin (bhp).

Kecuali Pontiac. Model Trans-Am semakin popular selepas muncul dalam filem Smokey and the Bandit. Untuk model tahun 1978, Pontiac telah menaikkan lagi kuasanya dari 200 ke 220 bhp.

Ia juga dilengkapkan dengan pakej kawalan yang dinamakan WS6 lengkap dengan suspensi sport, rim selebar 8 inci, tayar baharu dan stereng yang lebih responsif. Hasilnya ialah sebuah Trans-Am yang lebih laju dan mantap berbanding Corvette di litar perlumbaan.

CHEVY CHEVELLE LS6 1970

Bila Chevy menghadkan sesaran enjin agar tidak melepasi 400 inci kubik (bersamaan dengan 6.5 liter ataupun 6500 cc) syarikat lain contohnya Oldsmobile memasang enjin 455 inci kubik kepada model 442 mereka.

Chevy kemudian bertindak memasang enjin V8 bersaiz 454 inci kubik kepada model Chevelle SS. Enjin tersebut dikenali dengan nama LS6 dan mampu menjana 450 bhp kuasa dan 670 Nm tork.

Namun bila ia dipadankan dengan karburator Holley 780 CFM, angka tersebut dinaikkan kepada 500 bhp. Ia mampu membuat pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 5.4 saat. Ingat bahawa kereta ini merupakan kereta keluaran tahun 1970 tapi faham-faham sendirilah dengan kekuatan enjin V8 bersaiz mega ini. LS6 juga mewakili enjin terkuat di kalangan semua enjin kereta muscle yang pernah dihasilkan.

BACA: TUNDARA VS HILUX, AMERIKA VS ASIA

BACA: RAKYAT AMERIKA LEBIH SUKA HONDA DAN TOYOTA

 

 

 

 

 

 

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button