Buletin

HONDA MALAYSIA BERADA DI LANDASAN TEPAT UNTUK CAPAI SASARAN JUALAN 100K UNIT PADA TAHUN 2017 

Honda Malaysia semalam mengumumkan bahawa angka jualan Januari hingga April 2017 menunjukkan ia kini berada di landasan terbaik untuk mencapai sasaran jualan 100,000 unit pada tahun ini. Di samping mengekalkan kedudukan No.1 dalam segmen bukan nasional dan No. 2 dalam Volum Industri Keseluruhan (TIV). 

Walaupun menetapkan sasaran yang mencabar untuk tahun 2017, Honda Malaysia telahpun mencapai 35 peratus jualan atau lebih 34,500 unit sehingga April. Jika dibandingkan tempoh sama tahun lalu, ia menyaksikan peningkatan sebanyak 40 peratus dengan lebih 9,800 unit.

Dari segi perkongsian pasaran pula, Honda menyumbang sebanyak 19.4 peratus kepada TIV sehingga Mac 2017, 5.1 mata lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. Berikutan keputusan jualan memberangsangkan dua model yang dilancarkan pada suku pertama, Honda Malaysia mencatat rekod tertinggi perkongsian pasaran iaitu 20.5 peratus buat pertama kalinya pada Mac 2017.

Crossover tujuh tempat duduk, BR-V serba baharu sudah terjual lebih 7,800 unit dan menyumbang sebanyak 23 peratus kepada jualan keseluruhan hingga sekarang.

City facelift yang dilancarkan pada Mac pula menyumbang sebanyak 23 peratus. Menjadi penanda aras untuk sedan segmen B, City yang dilengkapi ciri kereta segmen C telah menerima tempahan lebih 7,200 unit.

Civic generasi ke-10 menguasai segmen C dengan lebih 15,700 unit berjaya dijual sejak dilancarkan pada Jun tahun lalu. Sebelum Civic diperkenalkan, jualan bulanan kenderaan segmen C adalah di antara 50 hingga 200 unit sahaja. Tetapi kini, secara purata varian Civic Turbo sahaja terjual sebanyak 840 unit sebulan, sekali gus mewakili 60 peratus jualan model Civic.

Dengan angka jualan yang begitu positif, maka tidak hairanlah jika model Jazz, HR-V, City, Civic dan Accord menggunguli segmen masing-masing sehingga Mac 2017.

Sempena musim perayaan tidak lama lagi, Honda Malaysia memberi jaminan bahawa tempoh menunggu model Honda kini adalah sekitar satu hingga dua bulan. Melalui dua saluran pengeluaran di kilangnya, Honda Malaysia yakin mampu mengurus produksi berdasarkan kepada permintaan, tanpa mengabaikan aspek kualiti.

Tahniah Honda Malaysia!

Google ads
Back to top button