Buletin

PENDUDUK ROTTERDAM MAHU BALING TELUR BUSUK KEPADA KAPAL LAYAR MEGA JEFF BEZOS 

Kapal layar mega milik bos Amazon, Jeff Bezos kini sedang dibina di Belanda dan mungkin memerlukan sebuah jambatan bersejarah dibuka supaya ia boleh melaluinya.

Perkembangan itu nyata menimbulkan rasa kurang sedang dalam kalangan rakyat Belanda. Malah, mereka merancang untuk melontar telur busuk ke arah kapal tersebut.

Penduduk Rotterdam menggunakan laman sosial Facebook untuk merancang acara ‘melontar telur’ ke arah kapal layar mega Jeff Bezos sebagai tanda protes.

“Panggilan kepada semua rakyat Rotterdam, ambil sekotak telur busuk dan lontar ke arah kapal Jeff Bezos apabila ia melalui sungai Hef. Rotterdam dibina daripada asal oleh rakyat, kami tidak buka sebarang simbol sejarah hanya untuk memenuhi impian bilionair. Kami akan lawan!,” tulis status di Facebook itu.  

Sehingga kini, hampir 1,200 orang bersetuju untuk menghadiri acara yang dijadual berlangsung pada 1Jun itu dengan 4,900 yang lain berminat untuk turut serta.

Kapal layar Bezos yang dikatakan berharga AS$500 juta (RM2.09 bilion) itu kini sedang dibina di Alblasserdam oleh firma pembuat kapal Oceanco. Sebaik sahaja siap, kapal sepanjang 417 kaki tersebut perlu melepasi Rotterdam sebelum tiba ke laut lepas.

Masalahnya, kapal layar berkenaan terlalu tinggi untuk melepasi Jambatan Koningshaven. Dikenali oleh penduduk tempatan sebagai De Hef, ia berusia hampir 100 tahun dan menjadi mercu tanda bandar tersebut. Datuk Bandar Rotterdam, Ahmed Aboutaleb memberitahu keputusan sama ada jambatan itu akan dibuka untuk dilalui oleh kapal Bezos masih belum dibuat. Jika terpaksa juga dibuka, Bezos atau Oceano perlu membayar kosnya.

Google ads
Back to top button