
SINGAPURA PINDAH PESAKIT WARGA ASING PULIH COVID-19 KE DALAM KAPAL PERSIARAN
Pihak berkuasa Singapura kini memindahkan pekerja asing yang telah sembuh daripada Covid-19 ke dalam dua buah kapal persiaran.
Langkah itu dibuat dalam usaha mengekang penularan wabak berkenaan di asrama pekerja yang menyebabkan jumlah kes jangkitan dari kluster itu terus melonjak.
Lembaga Pelancongan Singapura mengesahkan, sekumpulan pekerja menaiki kapal persiaran bersaiz sederhana, SuperStar Gemini, Rabu lalu. Manakala SuperStar Aquarius bersiap sedia menerima lebih banyak ‘penumpang’ selepas menjalani penilaian daripada agensi kerajaan.
Kapal berkenaan yang berlabuh di Marina Bay Cruise Centre itu dapat menampung sehingga 2,000 kapasiti penginapan.

Bagi mengurangkan risiko jangkitan, pekerja akan ditempatkan dalam bilik berkembar dilengkapi tandas, wifi dan televisyen. Walaupun diarah mematuhi penjarakan sosial, mereka masih dibenarkan keluar menghirup udara segar mengikut jadual.
Sementara makanan yang siap dibungkus untuk setiap orang akan digantung di luar kabin.
Pihak berkuasa Singapura juga memberitahu udara segar disalurkan bagi mengelakkan udara sama dikitar semula di kawasan kabin dan ruang yang digunakan oleh ramai orang.
Pemilik kedua-dua buah kapal itu, Genting Cruise Line menyatakan pihaknya telah menjalankan langkah pengawasan yang ketat. Ini termasuklah proses sanitasi dan nyahjangkitan demi keselamatan semua penumpang.
Republik itu berjaya mengawal kes jangkitan, namun menghadapi gelombang kedua jangkitan lebih pantas membabitkan kompleks penempatan pekerja asing yang kebanyakannya buruh binaan dari Asia Selatan.
Bagi pencegahan dan mengurangkan risiko jangkitan dalam asrama sesak, pihak berkuasa memindahkan pekerja berkenaan ke tempat lain termasuk berek tentera dan apartmen kosong.