
LELAKI TAWAR TOUR ‘KAPAL HANTU’ DI SELAT INGGERIS. DAPAT SAMBUTAN LUAR BIASA
Seorang lelaki Britain yang menawarkan tour ‘kapal hantu’ mengelilingi kapal persiaran kosong di Selat Inggeris memperoleh permintaan popular daripada orang ramai.
Paul Derham, memiliki pengalaman selama 27 tahun dalam bidang kapal persiaran sebelum menggunakan dua feri tempatan di Mudeford, Britain sebagai pengangkutan ke ‘kapal hantu’.
Dia berkata terdapat peluang potensi perniagaan dalam beberapa kapal persiaran kosong yang berlabuh di Selat Inggeris ketika penularan pandemik Covid-19.
Derham menggunakan kepakarannya menawarkan tour ‘kapal hantu’ selama 2 jam 30 minit. Dia akan membawa para pelancong mendekati kapal berkenaan pada jarak 160 kaki.

Bahkan, terdapat antara kapal-kapal berkenaan pernah mendapat khidmat Derham ketika berkhidmat dalam bidang kapal persiaran.
“Ia kelihatan luar biasa, walaupun ketika berada di pelabuhan, seperti di Southampton atau di mana sahaja, anda tidak boleh mendekati kapal-kapal tersebut. Pemandangan yang cukup menakjubkan,” kata Derham kepada CNN.
Dia menambah beberapa penumpangnya merupakan peminat tegar percutian menaiki kapal persiaran.

Justeru, katanya, mereka melihat tawaran ini sebagai peluang mengimbas kembali percutian terdahulu.
“Terdapat pasangan yang pernah menaiki salah satu kapal persiaran, Allure of Seas, pada awal tahun ini.
“Ketika kami berada berdekatan kapal tersebut, salah seorang daripada mereka mengatakan masih boleh menggunakan khidmat Wi-Fi kapal itu,” ujarnya.