TOYOTA HILUX SINGLE CAB, ENJIN 5.0 V12 TURBO BERKEMBAR
Selain popular di Asia Tenggara dan Australia, trak pikap 4×4 iaitu Toyota Hilux turut popular di benua Afrika dengan gelaran bakkies. Malah Toyota Hilux menjadi kenderaan paling laris jualannya pada tahun 2021 disebalik kegawatan ekonomi dunia bagi benua Afrika
Pada asalnya Toyota Hilux Single Cab ini dihasilkan bagi perlumbaan mendaki bukit Simola Hillclimb pada tahun 2020 dan telah dinaiktaraf dengan pelbagai komponen bagi menghasilkan lebih banyak kuasa kuda di FatBoy Fab Works.
Kali ini Francois Fritz, pemilik bengkel tersebut memutuskan Toyota Hilux ini akan menerima enjin 5000cc V12 yang berasal daripada Toyota Century. Dalam keadaan stok original kilang, enjin ini hanya menghasilkan sekitar 276 kuasa kuda dan 481Nm tork sahaja.
Namun dengan bantuan 2 unit turbo daripada jenama Garret GT35, piston, aci engkol, dan rod penyambung yang dihasilkan secara tempaan maka enjin ini mampu menjana sehingga 563 kuasa kuda dan 970Nm tork.
Malah menurut Fritz, enjin ini berpotensi untuk menjana sehingga 1000 kuasa kuda dengan tambahan 0.5 psi tekanan boost daripada turbo dan menggunakan bahan api campuran ethanol dan petrol dalam nisbah 50:50. Campuran ini dibuat bagi memastikan masalah knocking dapat diatasi dengan boost turbo yang tinggi
Bagi memastikan penghantaran kuasa daripada enjin kepada tayar berjalan lancar, Fritz memilih untuk menggunakan transmisi 4 kelajuan automatik daripada Toyota Supra generasi lama. Menurut Fritz, projek menaiktaraf Toyota Hilux ini masih belum selesai sepenuhnya kerana mereka merancang untuk memasang transmisi manual pada trak pikap ini