RUMAH ATAS KAPAL MEWAH RM4 JUTA. MULA BERLAYAR TAHUN 2025. BOLEH KELILING DUNIA DENGAN BERGAYA
Sekiranya anda memiliki AS$1 juta (RM4 juta) dan tidak takut dilambung ombak, anda mungkin boleh masukkan dalam senarai perbelanjaan untuk membeli kediaman mewah di atas kapal persiaran mewah.
Storylines membina MV Narative 18 dek, iaitu kapal persiaran kediaman mewah yang dijangka memulakan pelayaran pada 2025. Kapal persiaran tersebut berukuran 741 kaki dan mempunyai 11 pelan lantai.
Naib Presiden Pemasaran Storylines, Katie Drew memberitahu beberapa pelan lantai hampir habis dijual. Meskipun hanya akan memulakan pelayaran pada tahun 2025, tetapi 547 kondominium terapung itu telah pun memikat hati dan dompet ramai peminat.
Kediaman itu terdiri daripada rumah studio dua tingkat setanding dengan pangsapuri mewah di New York. Dengan keluasan 1,970 kaki persegi dan empat bilik tidur, ia adalah tawaran mengiurkan untuk pembeli.
Melihat risalah Storyline, kediaman terapung itu akan mempunyai perabot seperti unit storan, almari dan televisyen. Ia juga akan mendapat katil Murphy bersaiz queen sebagai pemisah antara bilik tidur dengan ruang tamu. Maksudnya, katil tersebut boleh disimpan dalam dinding apabila anda tidak menggunakannya.
Kapal persiaran mewah itu menyediakan kemudahan seperti WiFi untuk memudahkan golongan pekerja melayari internet. Terdapat juga tawaran ruangan pejabat untuk disewa di atas kapal tersebut.
Anda bimbang mengenai kesihatan? Jangan bimbang kerana ada kakitangan perubatan di atas kapal. Jadi, anda perlukan tawaran lebih mengujakan?
Antara tarikan lain dalam kapal persiaran mewah itu adalah sebuah bar kecil untuk memisahkan di antara ruang tamu dan bilik mandi. Walaupun tiada tab mandi, bilik mandi neutral masih mempunyai perabot moden dan meja solek yang boleh menandingi bilik mandi di kondo bernilai berjuta-juta dolar di darat.
Mengikut perkiraan, anda mungkin perlu membayar lebih AS$1 juta (RM4 juta) untuk memiliki rumah studio di darat. Itu tidak termasuk ‘yuran sara hidup’ bulanan sekitar AS$2,600 (RM11,895). Namun untuk Narative, dengan jumlah yang sama, anda turut disajikan dengan makanan serta minuman di 20 restoran dan bar.
Sepanjang perjalanan kapal mengelilingi dunia, penduduk akan dapat menghabiskan beberapa hari di destinasi antarabangsa seperti Istanbul, Turki, Kotor, Montenegro dan Palermo.
Jadi ya, membayar AS$1 juta (RM4 juta) untuk rumah kecil mungkin kelihatan tidak munasabah tetapi bagi pengembara, keupayaan untuk mengelilingi Bumi setiap tiga setengah tahun sepanjang tinggal di atas kapal persiaran mewah adalah sangat bernilai.
GALERI: