
ARIEL E-NOMAD CONCEPT, 896 KG, 281 BHP/490NM, BUKAN UNTUK DIJUAL!
Biasanya kita diberitakan mengenai kenderaan elektrik (EV) penumpang namun kali ini berbeza.
Ariel Motor Company, pengeluar kenderaan jalan raya, litar dan off-road jumlah kecil dari United Kingdom mempertontonkan E-Nomad concept.
Nomad dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) sudah bertahun berada di jalan raya dan beraksi di laluan off-road dan model konsep ini membayangkan versi elektrik.

Para jurutera Nomad merekabentuk, membangunkan dan mengeluarkan E-Nomad concept di ibu pejabat syarikat di Somerset, UK.
Menyamai pecutan model ICE, E-Nomad juga tangkas dan pecutan dari 0 sehingga 60 batu sejam (97 km/j) hanya memerlukan 3.4 saat.
Satu perkara mengenai EV ialah berat yang tinggi kerana perlu membawa perkakasan elektrik dan E-Nomad hanya seberat 896 kilogram (kg).

Sebagai perbandingan, Nomad 2 yang diperkenal pada Julai lalu mempunyai berat 715 kg dengan pecutan 0 sehingga 97 bsj yang sama.
E-Nomad menggunakan badan gentian bio-komposit semula jadi yang boleh dikitar semula dan meningkatkan kecekapan aerodinamik.
Diasaskan dari Nomad 2, E-Nomad dilengkapi bateri 450 volt 41 kilowatt-jam (kWj) yang membekalkan kuasa kepada motor belakang bersepadu, kotak gear dan unit penyongsang.

Kuasa yang dihasilkan ialah 210 kW (281 bhp) dengan tork setinggi 490Nm dan boleh dipandu sehingga 240 km.
Dihantar melalui kotak gear kelajuan tunggal, kuasa dan daya kilas diterjemahkan pada prestasi luar biasa di atas jalan raya dan pada masa sama kekal stabil dan boleh dikawal di atas permukaan bumi mencabar.
Satu ciri utama EV ialah kuasa spontan dan bayangkan aksi gabungan kuasa, daya kilas dan berat E-Nomad.

Dibangun dengan kerjasama Rockfort Engineering dan Bamd Composites, geran program Ariel ‘Zero Emission for Low Volume’ dibantu Jabatan Perdagangan UK melalui Pusat Pendorong Termaju dan Rangkaian Kenderaan Niche.
E-Nomad bukan untuk dijual namun Ariel akan memantau reaksi pengguna untuk pemakluman rancangan masa depan.
Ariel akan menguji kenderaan prototaip secara meluas bagi meneroka potensi kegunaannya.

Ciri-ciri E-Nomad Concept:
Bateri
- Dibangunkan secara khusus untuk E-Nomad oleh Rockfort Engineering
- Modul Pegasus V3 baharu yang menggunakan kantung sel litium-ion tenaga tinggi
- E-Nomad menggunakan 12 modul Pegasus V3 dengan kapasiti 41kW dan berkuasa 210kW
- Berat tidak sampai 300 kg dan membantu dalam berat keseluruhan E-Nomad yang rendah
- Sistem penyejukan dan pemanasan bersepadu bagi memanjangkan hayat bateri dengan mengekalkan suhu yang optimum di jalan biasa, litar dan laluan off-road
- Pemanas dalaman 5kW boleh melakukan pemanasan awal di dalam keadaan sejuk
- Dipasang di belakang dinding sekat pemandu dan penumpang
- Menggunakan pengecas AC Type 2 dan pengecas pantas DC CC2
- Pengecasan pantas boleh dibuat di bawah 25 minit (20 – 80%)

Pacuan kuasa
- Diuruskan melalui sistem kawalan Rockfort Engineering untuk perubahan dalam penghantaran kuasa, regeneratif dan pemetaan prestasi berbeza bagi menyesuaikannya dengan kegunaan dan karakteristik pemanduan
- Menggunakan Cascadia Motion IDM90 yang menggabungkan motor, kotak gear dan unit penyongsang DX dengan berat hanya 92 kg
- Motor eDM Borg Warner dengan ligatan sehingga 12,000 rpm
- Kotak gear kelajuan tunggal dengan gear pengurangan 8.28:1
- Dilengkapi pembeza gelinciran terhad dan penguncian parkir
- Unit pacuan disejukkan menggunakan air melalui sistem sekunder dan berasingan dari bateri. Disalur dari radiator depan dengan laluan berasingan
Badan
- Panel badan dikeluarkan oleh Bamd Composites
- Diperbuat daripada gentian flaks semula jadi
- Diperkukuh dengan ‘rusuk kuasa’ yang dibuat daripada gentian karbon bio-komposit
- Dibangunkan menggunakan perisian Bramble CFD bagi meneroka pelbagai ciri-ciri aerodinamik
- Tumpuan diberi pada memaksimumkan jarak dan mengekalkan daya mendap dan keseimbangan
- Kebanyakan pengurangan seretan disumbang oleh panel bumbung yang juga menempatkan tayar ganti saiz penuh

Pengendalian dan pemanduan
- Dilengkapi sistem Brek-Anti Kunci dengan mod jalan raya dan off-road
- Sistem pembrekan regeneratif yang membekalkan tenaga kepada bateri dan fungsi pemanduan satu pedal
- Dua mod pemanduan; Eco (pengurangan kuasa dan daya kilas) dan Sport (kuasa penuh)
- Panel suis tengah untuk pandu, neutral, undur, tetapan parkir, pemanas bateri, sistem pengecasan dan mod pemanduan
- Skrin TFT AIM Techologies yang memaparkan suhu rangkaian kuasa, mod pemanduan dan status batero
- Sistem perakam data penuh dan beberapa lagi untuk kegunaan Ariel bagi program penilaian dan pembangunan
- Sistem elektrikal Pengurusan Penghantaran Kuasa (PDM) yang disemak semula menguruskan keadaan kuasa bateri yang membolehkan sistem automatik aktif dan tidak aktif untuk pengecasan dan pengurusan bateri sambil meminimumkan penyusutan tenaga bateri dalam tempoh tidak digunakan
















