Motosikal

MOTOGP: SOMKIAT CHANTRA SERTAI LCR HONDA BAGI MUSIM 2025

Somkiat Chantra secara rasmi bakal menggantikan Takaaki Nakagami di LCR Honda di kelas premier MotoGP bermula musim 2025. 

Perkembangan terbaru itu secara langsung menjadikan Chantra mengukir sejarah selaku pelumba Thailand pertama yang berjaya melangkah ke kelas premier MotoGP dan pelumba Asia Tenggara kedua melakukannya selepas Hafizh Syahrin. 

*Somkiat Chantra

Walaupun catatan musim 2024 di Moto2 kurang memberangsangkan namun pelumba berusia 25 tahun itu mempamerkan beberapa aksi membanggakan sebelum ini. Pada masa sama, casis Kalex juga ketinggalan dibelakang Boscocuro musim ini. 

Chantra merekodkan dua kemenangan Moto2 dalam kariernya, sekali pada musim 2022 dan sekali lagi pada musim berikutnya. 

Lebih membanggakan, Chantra bakal beraksi di laman sendiri setelah Litar Buriram disahkan sebagai perlumbaan pembuka tirai bagi musim 2025. 

“Saya teruja dapat menyertai LCR (dari Honda Team Asia). Naik ke MotoGP merupakan impian saya selama ini dan akhirnya menjadi kenyataan,” ujar Chantra. 

*Takaaki Nakagami

Dalam pada itu, Nakagami yang menghabiskan sepanjang kariernya di kelas premier MotoGP bersama LCR Honda akan menggalas tugas selaku pelumba uji rasmi pasukan itu di Jepun. 

“Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada Takaaki Nakagami keatas komitmennya selama tujuh musim di MotoGP. Kami mengucapkan selamat maju jaya pada permulaan babak terbaru bersama Honda,” jelas Prinsipal Pasukan, Lucio Cecchinello. 

Google ads
Back to top button