Buletin

ZEEKR 009 TIBA DI PASARAN THAILAND – JANA 603HP, JARAK GERAK 582KM, HARGA SEKITAR RM395K

Zeekr, jenama kenderaan elektrik premium milik Geely Holding Group, baru-baru ini memperkenalkan model Zeekr 009 di Thailand, menawarkan satu varian sahaja, Flagship AWD.

Minivan mewah elektrik sepenuhnya ini menonjol dengan reka bentuk yang menarik, gabungan estetik antara Kia Carnival dan Rolls-Royce, menawarkan pilihan mewah dalam segmen MPV.

Zeekr 009 direka dengan fokus utama kepada kemewahan dan prestasi, dilengkapi spesifikasi tinggi serta kabin enam tempat duduk yang elegan.

Dari segi dimensi, ia mempunyai ukuran pada 5,217/2,024/1,812mm dengan jarak roda sepanjang 3,205mm.

Di Thailand, model ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Crystal White dengan dalaman hitam, Electric Blue dengan dalaman hitam atau kelabu/putih, dan Phantom Black dengan dalaman hitam atau biru/putih.

Zeekr 009 dilengkapi pelbagai ciri premium sebagai standard, termasuk suspensi udara, rim aloi 20-inci, susunan tempat duduk 2+2+2 dengan kerusi lounge eksekutif di barisan kedua.

Perincian lain termasuklah kluster instrumen digital 10.25-inci, sistem infotainmen skrin sesentuh 15.4-inci, paparan penumpang belakang 17-inci, paparan kepala dan sistem audio dari Yamaha.

Bukan itu sahaja, ia turut didatangkan dengan pintu gelangsar kuasa, bumbung kaca panoramik, tailgate kuasa, dan sistem bantuan pemandu termaju.

Beralih pada kuasa, ia dijana oleh dua motor elektrik dengan gabungan kuasa 603hp dan tork 693Nm.

Menerusi bateri nickel manganese cobalt (NMC) 116kWh, ia menawarkan jarak gerak sehingga 582km berdasarkan standard WLTP.

Sementara, pecutan dari 0 hingga 100 km/j boleh dicapai dalam masa 4.5 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 230 km/j.

Pengecasan pantas DC berkapasiti 310 kW membolehkan pengecasan dari 10 hingga 80 peratus dalam masa sekitar 11.5 minit.

Untuk harga pula, Zeekr 009 di Thailand boleh dimiliki pada harga bermula dari 3.099 juta baht (lebih kurang RM395,000).

Model ini juga disertakan dengan waranti kenderaan selama lima tahun atau 150,000km, manakala motor dan bateri dilindungi selama lapan tahun atau 180,000km.

Google ads
Back to top button