Buletin

ART OF SPEED MALAYSIA 2017 – KEMBALI DENGAN PERSEMBAHAN LEBIH MENARIK

Untuk tahun keenam berturut-turut, pameran seni modifikasi kustom Art Of Speed kembali menggegar Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dengan pelbagai pengisian yang menarik. Berlangsung selama 2 hari (29 & 30 Julai 2017), ia merupakan acara permotoran yang perlu anda kunjungi, khususnya kepada peminat dunia klasik, olskool dan kustom.

Selain pameran Show and Shine sebagai acara utama, pameran kali ini turut mengetengahkan acara AOS Invitational Bike Build Off 2017, yang menyaksikan 10 pembina motosikal kustom dari Malaysia dan Singapura bersaing untuk merebut hadiah wang tunai bernilai RM15,000.

Pihak penganjur turut membawakan kenderaan binaan khas dari luar negara untuk dipamerkan, iaitu model Harley-Davidson FL 1975 milik Hideya Togashi dari Hide Motorcycles Japan, Ironhead Sportster (1981) dari Gen Love Art Japan dan Ford Shoebox Kustom (1949) milik Daisuke Sakon dari Kustomstyle Japan.

Kunjungan ke sini juga membolehkan anda bertemu para selebriti, personaliti dan nama-nama besar dalam dunia kustom tempatan mahupun antarabangsa. Antaranya, Cole Foster dari Salinas Boys Custom Cars & Bikes USA, Jeff Holt dari Hot Bike Magazine USA, David “Chopperdave” Freston dari USA, Shige Suganuma & Wildman dari Mooneyes Japan, Dino Dalle Carbonare dari Speedhunters Japan, Jeffrey Chang dari Air Runner Taiwan, Chicarockabilly Shima dari Singapura, Irvine Jasta & Donny Ariyanto dari Indonesia dan lain-lain.

Pereka utama jenama Hot Wheels; Jun Imai dari Amerika Syarikat, juga tidak ketinggalan hadir bertemu para peminat model mainan ini di Malaysia.

BACA: IKON KUSTOM GAYA HONDA YANG BERGAYA, INILAH #GAYAKAMI

Di samping itu, para pengunjung boleh menyaksikan deretan kenderaan modifikasi dalam acara Neat Fest yang akan dikelolakan oleh NoEqual di dewan bersebelahan.

Turut berlangsung, pameran galeri seni ‘MotoCircus’, pasar vintage, perhimpunan kelab, pertunjukan papan luncur oleh House Of Vans, tunggang uji motosikal oleh Kawasaki Motors Malaysia, acara stunt oleh Boon Siew Honda, promosi jualan oleh para pempamer, pelancaran produk, permainan interaktif, cabutan bertuah, persembahan pentas dari artis terkenal dan lain-lain.

Art Of Speed Malaysia 2017 masih berlangsung (hari ini) hingga jam 7.00 malam. Pastikan anda tidak terlepas peluang untuk hadir ke acara ini!

-PAK MAUN-

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button