Artikel Pilihan

BOLLINGER B1 – PACUAN EMPAT RODA BERKUASA ELEKTRIK UNTUK MASA DEPAN

Kereta dan skuter ataupun motosikal berkuasa elektrik sudah biasa kita dengar. Tapi kali ini lain sedikit kerana Bollinger Motor dari New York mendakwa telah berjaya menghasilkan kenderaan pacuan empat roda berkuasa elektrik. Ia dinamakan Bollinger B1. Bayangkan seronoknya menyertai aktiviti off-road tanpa asap kotor dan minyak hitam yang menitis sepanjang laluan. Barulah mesra alam sekitar namanya.

B1merupakan kenderaan pertama berkuasa elektrik dengan kelengkapan pacuan semua roda seperti sebuah SUV. Malah rekaan badan three-box menambahkan lagi praktikaliti dan memudahkan pertukaran dari kabin penuh kepada kabin separuh ala pikap.

BACA: JEEP WRANGLER G PATTON TOMAHAWK 6X6

Bollinger menyatakan B1 ini mempunyai jaraj tapak roda sepanjang 105 inci dengan lebar trek 68 inci yang cukup lebar untuk kestabilan. Baterinya juga diletakkan cukup rendah dalam casis yang diperbuat daripada aluminium memberikan pusat graviti yang rendah. Paling menarik ia dikatakan mempunyai agihan 50/50 hadapan dan belakang.

Bukan itu sahaja, disebabkan keseluruhan motor elektriknya di letakkan di bahagian bawah lantai. Kenderaan ini mempunyai ruang barangan di hadapan dan juga di belakang. Setakat nak beli beberapa batang kayu untuk kerja-kerja DIY memang mudah sangat. Kalau terlebih panjang, baterinya cukup berkuasa untuk anda menggunakan gergaji elektrik untuk memotongnya. Tapi pastikan bateri anda mempunyai caj secukupnya sebelum menghidupkan gergaji elektrik itu.

Keseluruhan badan B1 ini dihasilkan daripada kepingan aluminium yang dirivet agar lebih kukuh manakala casisnya daripada logam. Ia juga dipadankan dengan bumper yang lurus dan ringkas selain tayar off-road yang agresif dan bahagian bumbung yang mudah dibuka.

Ini bermakna anda boleh menukar mod B1 daripada SUV kepada sebuah trak pikap. Sebaik bumbungnya dibuka ia akan kelihatan seperti sebuah Jeep Wrangler tetapi jauh lebih senyap sewaktu meredah laluan di dalam hutan. Bahagian dalamnya juga kekal ringkas tetapi jika anda mahukan sedikit kemewahan, mereka boleh membalut beberapa bahagian dengan kulit asli contohnya pemegang pintu.

Antara spesifikasi Bollienger B1:
• Pilihan pek bateri 60 ataupun 100 kWh, memberikan jarak perjalanan 190 atau 320 kilometer.
• 0-100 km/j dalam masa 4.5 saat.
• Kelajuan maksima 205 km/j.
• Kelegaan bumi boleh laras (10-20 inci).
• Kemudahan mengecas bateri secara pantas (45-75 minit)
• Kemampuan menunda beban seberat 2700 kg.

Google ads
Back to top button