Buletin

AS CUAK INOVASI TEKNOLOGI CHINA LEBIH MAJU – LAWAN ATAU TERUS KETINGGALAN?

Bolehkah China memimpin inovasi dan mengatasi Amerika Syarikat dalam persaingan sengit mereka untuk dominasi teknologi? Berdasarkan kajian selama 20 bulan terhadap 44 syarikat China dalam teknologi utama – termasuk tenaga nuklear, semikonduktor, kecerdasan buatan, kenderaan elektrik, dan sains bahan – jawapannya mungkin membimbangkan bagi AS.

Penganalisis dari Yayasan Inovasi Teknologi dan Maklumat (ITIF), mengemukakan penemuan mereka dalam acara di Capitol Hill.

Mereka menggesa ahli politik dan penggubal dasar AS untuk menangani cabaran yang dihadapi akibat kemajuan inovasi China.

“Secara keseluruhan, kami mendapati bahawa sistem inovasi China, walaupun tidak sempurna, jauh lebih kuat daripada yang difahami sebelum ini,” kata wakil ITIF, Stephen Ezell.

Walaupun China masih belum mendahului dalam keseluruhan aspek, ia telah mencapai kejayaan di beberapa bidang, dan syarikat-syarikat China dijangka menyamai atau mengatasi syarikat Barat dalam masa satu dekad, tambahnya.

China kini terkehadapan dalam bidang tenaga nuklear, kenderaan elektrik, dan bateri, manakala kemajuan mereka dalam semikonduktor canggih adalah sederhana.

Kajian itu menilai syarikat-syarikat China berdasarkan pelaburan R&D, jumlah kakitangan, kehadiran pasukan inovasi dalaman, anugerah antarabangsa, dan penguasaan pasaran, dan membandingkannya dengan pemimpin global dalam bidang yang sama.

Dari segi tenaga nuklear, China didapati 10 hingga 15 tahun lebih maju daripada AS dalam pengoperasian reaktor nuklear generasi keempat.

China kini membina lebih banyak reaktor nuklear berbanding gabungan negara-negara lain dan telah melangkaui AS dalam aspek ini.

Menjelang 2030, China dijangka mengatasi AS dalam penjanaan tenaga nuklear, setelah menjadi negara pertama yang mengoperasikan reaktor generasi keempat dengan reka bentuk baharu dan sistem keselamatan pasif.

Dalam industri automotif pula, China telah menunjukkan perkembangan menakjubkan. Pada tahun 1985, negara itu hanya mengeluarkan 5,200 kereta, tetapi pada tahun ini, ia dijangka mengeluarkan sebanyak 26.8 juta kenderaan – 21 peratus daripada pasaran global.

Untuk rekod, China kini mengeluarkan 62 peratus kenderaan elektrik dunia dan 77 peratus bateri EV global, menjadikannya peneraju dalam pasaran ini.

Dalam biopharmaceutical, kajian ITIF mendapati bahawa China masih ketinggalan berbanding AS dan negara Barat, tetapi mereka sedang mengejar dengan pantas.

Dari 2002 hingga 2019, nilai tambah industri biofarmaseutikal China meningkat empat kali ganda hingga hampir 25 peratus daripada jumlah global.

Namun, dalam bidang robotik, syarikat-syarikat China masih kurang inovatif berbanding rakan-rakan mereka di AS, Korea Selatan, dan Jepun, kecuali Kuka, sebuah syarikat robotik Jerman yang dimiliki oleh Midea Group dari China.

Walaupun begitu, China pada tahun lepas mengerahkan lebih banyak robot industri berbanding gabungan negara-negara lain, yang akan membawa impak besar kepada ekonomi pembuatan mereka.

Untuk semikonduktor, China berada dua hingga lima tahun di belakang peneraju global. Huawei Technologies, yang dikenakan sekatan keras oleh AS sejak 2020, masih dapat melancarkan telefon pintar dengan cip canggih buatan tempatan pada tahun lepas, mengejutkan Washington.

Bagi mempertahankan kedudukan teknologi mereka, Jabatan Perdagangan AS pada September mengumumkan kawalan eksport baharu terhadap pengkomputeran kuantum dan alatan pembuat cip canggih.

Ini merupakan langkah lanjut selepas sekatan pada 2022 yang mengehadkan akses China kepada cip pengkomputeran maju dan menyekat kemampuan mereka dalam pembuatan semikonduktor.

Walaupun sekatan ini, syarikat-syarikat China seperti Huawei masih mampu bersaing. Syarikat AS seperti Nvidia telah mencipta versi cip yang lebih rendah untuk pasaran China, menunjukkan betapa pentingnya pasaran tersebut.

China menyumbang kira-kira 17 peratus daripada pendapatan Nvidia pada tahun berakhir Januari, walaupun jumlah ini telah menurun sejak dua tahun sebelumnya.

Menurut bekas pegawai dasar teknologi di Jabatan Negara AS, Rick Switzer, memberi amaran bahawa AS perlu memperhebatkan usaha dalam melindungi keunggulan teknologinya.

Google ads
Back to top button