Buletin

AUDI RS Q E-TRON E2, GUNA ENJIN RANGE EXTENDER UNTUK RALI!

Pada Mac 2022, Audi RS Q e-tron mencatat sejarah dengan memenangi perlumbaan Cabaran Rali Padang di Abu Dhabi.

Apa yang menarik ialah RS Q e-tron bukan jentera perlumbaan biasa, ianya dibekalkan enjin 2.0L Audi RC8 TFSI yang berfungsi sebagai penjana atau generator untuk menghasilkan tenaga elektrik bagi menggerakkan roda.

Masih baharu, Audi telah mendedahkan prototaip terbaru yang dikenali sebagai RS Q e-tron E2 bagi menyertai Rali Maghribi 2023 dan Rali Dakar 2023.

Menarik tentang nama E2, ianya digunakan oleh jentera rali Audi Sport Quattro Group B pada era 80-an.

Evolusi yang dizahirkan pada RS Q e-tron E2 merangkumi perubahan luar dan dalam dengan satu komponen badan pun tidak digunakan kembali.

Kokpit yang dulunya mengecil ke bahagian bumbung kini jauh lebih lebar, hud depan dan belakang juga telah direka semula.

Maklumat tersebut diberikan oleh Ketua Pereka RS Q e-tron, Axel Löffler. Selain itu, jentera prototaip T1U (T1 Ultimate) perlu mempunyai berat 2,100 kg daripada 2,000 kg sekarang ini.

Secara asasnya RS Q e-tron E2 masih nampak seperti jentera makhluk asing model terdahulu dan kini lebih sopan dengan sirip yang lebih kecil.

Satu lagi perubahan signifikan ialah bentuk seperti badan bot dengan bahagian paling lebar pada aras kokpit dan mengecil pada bahagian depan dan belakang.

Definisi sopan yang dinyatakan di atas sebenarnya tidak betapa tepat jika dilihat pada arka roda yang terdedah dan menampakkan penyerap hentak.

Peralihan badan dibuat kemas ke pintu dan turut membantu dalam mengurangkan berat dan mengoptimumkan laluan udara.

Satu lagi perubahan yang dibuat ialah pusat graviti lebih rendah manakala seretan aerodinamik dikurangkan sekitar 15 peratus.

Pakej rangkaian kuasa jentera ini terdiri daripada enjin pembakaran dalaman, bateri voltan tinggi dan dua motor elektrik pada gandar depan dan belakang.

Audi turut membuat beberapa perubahan dibuat pada sistem kereta bagi menggunakan tenaga dengan lebih cekap.

Jentera ini bakal dipandu oleh pasangan pemandu Mattias Ekström dan Emil Bergkvist, Stéphane Peterhansel dan Edouard Boulanger, Carlos Sainz dan Lucas Cruz.

Mereka akan disambut oleh tempat kerja baharu dengan aturan paparan dan suis yang disusun semula.

Kawalan kini menggunakan suis berputar untuk memilih empat sistem aturan kereta iaitu Stage semasa perlumbaan seperti penghad kelajuan, Road untuk lampu isyarat dan kamera undur belakang.

Mod Error bagi mengesan dan kesilapan manakala mod Setting untuk kegunaan kakitangan teknikal semasa pengujian atau ketika hentian sela perlumbaan.

Tidak terhad kepada teknikal, jentera terbaru ini lebih praktikal ketika tayar bocor dan aspek penting untuk perlumbaan rali.

Komponen badan lebih ringkas dan mudah untuk dialihkan bagi mengambil tayar ganti. Roda yang dibekalkan oleh Rotiform juga lebih mudah untuk dikendalikan.

Pemandu dan pasangan boleh memegangnya dengan lebih senang dan menyiapkan kerja penukaran dengan lebih selamat.

Kehebatan RS Q e-tron E2 akan teruji dalam perlumbaan pertama Rally du Maroc di Maghribi pada Oktober 2022 dan jika tiada aral melintang akan bersaing dalam Rali Dakar 2023.

BACA: AUDI Q3 ADVANCE 1.4 TFSI S TRONIC, CROSSOVER PREMIUM HARGA KAYANGAN

BACA: AUDI RS3 BAHARU – NAK PANDU KE PEJABAT OK. NAK PANDU KE TREK PUN OK JUGA

Google ads
Back to top button