,
Artikel Pilihan

AUDI RS2 AVANT – KERETA YANG MENGUBAH MASA DEPAN AUDI

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas sejarah sebuah jentera yang menjadi titik tolak perubahan sebuah syarikat pembuat kenderaan dari Jerman iaitu Audi.

Umum mengetahui bahawa Audi merupakan jenama mewah dan mempunyai barisan model yang berkuasa. Tetapi jentera yang satu ini, sangat istimewa.

Jentera yang disebut-sebut ini bernama Audi RS2 Avant. Jentera ini lahir pada tahun 1994 selepas pihak Audi dan Porsche memeterai perjanjian bersama untuk menghasilkan jentera ini. Asas jentera ini diambil dari model Audi 80 Avant. Namun nama 80 Avant itu tidaklah menggerunkan lalu ditukar kepada Audi RS2 Avant.

Ini lah dia model Audi RS pertama di dunia ! Tak cukup dengan itu, Audi RS2 Avant ini dipasang di kilang Rossle-Bau milik Porsche yang terletak di Zuffenhausen, Jerman. Untuk pengetahuan, kilang Rossle-Bau ini juga merupakan tempat lahirnya Porsche 959.

Jentera ini dijana oleh enjin 5 silinder Turbo berkapasiti 2,226cc yang menggunakan asas daripada model Audi Quattro tetapi dirombak kembali sehingga menjadikan enjin ini sebagai enjin pembakaran dalaman termaju dan berkuasa di zamannya.

Kuasa yang dapat dihamburkan oleh enjin ini adalah sebanyak 311hp pada 6,500rpm dan 410Nm daya kilas pada 3,000rpm. Kuasa yang dihamburkan oleh enjin ini kemudian dihantar ke kotak gear 6 kelajuan manual.

Antara “trademark” model RS adalah sistem Quattro (4WD) itu sendiri. Jadi sudah tentu jentera ini dilengkapi juga dengan sistem Quattro. Dengan gabungan kuasa enjin, kotak gear serta sistem Quattro, jentera ini mampu memecut dari 0-100km/h hanya pada kadar 4.1 saat sahaja.

Catatan masa dari 0-30mph pula pada kadar 1.5 saat sahaja. Lebih laju daripada McLaren F1 dan jentera Formula One pada zamannhya. Kelajuan tertinggi yang direkodkan adalah 267km/h

Tuan-Tuan,

Pada tahun 1994 jentera ini mempu memberikan pecutan seakan-akan jentera Formula One. Satu rekod yang sangat luar biasa.

Bagi sistem suspensi dan brek, pihak Porsche merombak keseluruhan sistem daripada Audi 80 Avant dan menukarnya dengan komponen-komponen daripada Porsche sendiri.

Brek hadapan menggunakan rotor bersaiz 304mm dan diapit oleh angkup brek 4 piston Brembo. Rotor belakang pula bersaiz 299mm dan diapit oleh angkup brek 4 piston Brembo. Sistem brek dibantu dengan sistem ABS daripada Bosch.

Sistem suspensi daripada Porsche bertindak merendahkan lagi jentera ini 40mm dari kedudukan asal yang terdapat pada Audi 80 Avant. Seterusnya, rim yang digunakan adalah dari jenis Porsche Cup dan diselaputi oleh tayar Dunlop bersaiz 245/40 ZR17. Jika diteliti, rim serta angkup brek jentera ini adalah sama seperti yang digunakan pada Porsche 964 Turbo.

Bahagian dalaman jentera ini menerima sepasang kerusi daripada Recaro. Kerusi ni boleh laras secara elektronik, bukan manual. Kemasan kayu atau karbon didatangkan sebagai pilihan kepada pemilik.

Bukan itu sahaja, terdapat barisan meter 3 beradik di bahagian tengah konsol iaitu Oil Pressure Gauge, Oil Temprature Gauge dan Voltmeter. Untuk kawalan Audio, jentera ini menerima pemain Audio daripada Kenwood. Paling menarik perhatian sebenarnya adalah logo RS2 pada but belakang dan gril hadapan didatangkan sekali dengan wording “PORSCHE”.

Warna yang sinonim bagi jentera ini adalah Nogaro Blue. Ada juga yang dikeluarkan dengan warna lain tetapi tiada rekod menunjukkan berapa jenis warna. Jenis badan pula hanya boleh didapati dalam bentuk Avant/Wagon/Estate sahaja. Tiada varian Saloon/Sedan atau Coupe bagi jentera ini.

Pengeluaran jentera ini hanya berlangsung selama setahun sahaja bermula pada tahun 1994 dan berakhir pada tahun 1995 dimana pada awalnya pihak Audi/Porsche ingin mengeluarkan 2,200 unit sahaja. Namun disebabkan permintaan yang tinggi mereka mengeluarkan 2,891 unit secara keseluruhan. Di dalam 2,891 unit ini, hanya 180 unit varian pemanduan sebelah kanan (RHD) dikeluarkan untuk pasaran UK, New Zealand dan Afrika Selatan.

Jika anda berniat nak mendapatkan jentera yang “Super Rare” ini sekarang, boleh. Anda hanya perlu membayar harga dalam lingkungan RM300,000 tidak termasuk Duti Eksais, Duti Import dan SST. Entah berapa lah nilainya jika ada yang bawa masuk. Tak tergambar. Apa yang anda dapat daripada jentera ni ?

Inilah Audi yang paling Porsche sekali.

Atau,

Inilah Porsche yang paling Audi sekali.

Terpulanglah pada anda hendak menilai macam mana. Jadi inilah dia Tuan-Tuan. Leluhur asal varian RS dalam barisan model Audi.

Kepada model-model RS yang baharu, RESPECT YOUR ELDERS.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button