Buletin

AUDI TT RS COUPE ICONIC EDITION, NARDO GREY DAN 100 BUAH SAHAJA!

Pada tahun 1995 di Pameran Kenderaan IAA di Frankfurt, Jerman Audi mempersembahkan sebuah kereta yang dikenali sebagai Audi TT Coupé.

Kereta itu dibuat menggunakan prinsip rekaan berasaskan bentuk geometrik dan bulat. Tiga tahun kemudian, Audi TT Coupé dihasilkan dengan rekaan yang hampir sama dan selepas itu adalah sejarah.

Pada tahun 1999 Audi memperkenalkan TT Roadster dan pada generasi seterusnya model TT Coupé S dan RS pula menemui pasaran.

Audi TT diilhamkan daripada konsep less is more dan disebabkan itu kita boleh melihat sebuah model yang tampil ringkas dan bersahaja.

Merentasi tiga generasi dan lebih dua dekad, garisan tipikal Audi TT masih boleh ditemui pada model terbaru dan terhad TT RS Coupé iconic edition.

Model ini dikeluarkan sebanyak 100 unit sahaja untuk pasaran Eropah dengan 11 dikhaskan buat United Kingdom.

Enjin TSFI lima silinder 400 PS, pacuan quattro

Enjin lima silinder merupakan satu keunikan pada jentera Audi dan kehebatannya terserlah dengan memenangi Anugerah Enjin Antarabangsa Tahunan sembilan kali berturut-turut sejak 2010.

TT RS Coupé edisi terhad ini digerakkan enjin Audi Sport 2.5L TFSI berkuasa 400PS dan tork maksimum 480 Nm dan melonjakkan kereta seberat 1,475kg

Seperti biasa untuk TT RS, enjin dipadan bersama transmisi tujuh kelajuan S tronic dan pacuan semua roda penuh masa quattro.

Klac pelbagai plat kawalan elektro hidraulik yang pertama kali diperkenalkan pada TT 1998 membahagikan kuasa secara bebas di antara roda depan dan belakang.

Mod pemanduan pula membolehkan pemandu mengawal sistem pacuan quattro dan komponen lain seperti stereng, transmisi, ridip ekzos dan karakter enjin.

Pembakaran enjin mengikut susunan 1,2,4,5,3 dan ditemani bunyi yang tersendiri.

Susunan pembakaran yang bertentangan dan tidak bertentangan itu menghasilkan irama bunyi dan karakter tersendiri dan diperhebatkan lagi dengan sistem ekzos RS Sport.

Satu keistimewaan pada model ini ialah kelajuan maksimum ditingkatkan kepada 280 km/j manakala pecutan 0-100 km/j pula hanya perlu 3.7 saat.

Menggalas beban ialah suspensi RS Sport dengan peredam adaptif dan rasa stereng boleh dilaras melalui sistem pemanduan Audi.

Nardo Grey untuk model RS, kit aerodinamik

Warna yang sangat popular untuk peminat kereta iaitu Nardo Grey. Warna yang khusus untuk model RS benar-benar menaikkan karakter model terhad ini.

Warna kelabu tersohor itu mendapat nama daripada litar lumba legenda di Itali iaitu Pista di Nardó yang merupakan lokasi ujian awalan model Audi RS.

Karakter warna yang menarik dipadan bersama lampu Matrix LED dan gril hitam kilat dengan bingkai hitam kusam dan tulisan quattro warna titanium kusam.

Menambah lagi gaya ialah kit badan dari depan hingga belakang dan spoiler yang menyempurnakan penampilan selain dua muncung ekzos bentuk oval sebagai identiti model RS.

Aerokit yang digunakan bukan sekadar kosmetik dan ia dibangunkan di dalam terowong angin dan mengambil kira hubungan di antara seretan dan angkatan.

Diilhamkan dari sukan permotoran, kit itu terdiri daripada apron dengan sirip, splitter dan bilah pada sisi liang udara depan.

Spoiler belakang jenis tidak boleh laras dan diperbuat daripada gentian karbon dan peresap bawah bampar pula dibuat kemas dengan rekaan menegak.

Peningkatan tekanan sentuh (contact pressure) spoiler dan peresap meletakkan kereta lebih kemas di atas jalan dan mempertingkatkan pengendalian secara signifikan ketika di selekoh laju.

Satu lagi yang menarik perhatian ialah roda 20 inci hitam kilat dan angkup brek juga dalam warna hitam dan tulisan iconic edition pada cermin sukuan belakang.

Bahagian dalam RS, sistem audio Bang & Olufsen

Bentuk tiub dan silinder pada generasi dahulu boleh ditemui pada model terbaru ini seperti penutup tangki minyak, liang udara bulat, bucu pintu gear dan tombol gear yang kini mempunyai nombor siri.

Panel pintu dibalut Alcantara hitam dan stereng RS Sport mempunyai penanda calendula yellow pada sudut tengah di dalam suasana dalaman dengan tema gelap.

Kerusi RS sport menggunakan kulit Nappa pada panel sisi dalam warna jet grey manakala panel tengah dibalut Alcantara hitam dan sulaman calendula yellow.

Tulisan iconic edition dijahit pada sandaran kerusi selain logo RS yang turut disulam pada alas kaki.

Sebagai kereta sport premium, model ini turut dilengkapi lampu suasana dan Sistem Suara Premium Bang & Olufsen dengan bunyi 3D sebagai halwa telinga yang berkualiti semasa memandu.

Harga? Tidak sampai RM500 ribu

Di United Kingdom, Audi TT RS Coupé iconic edition ditawarkan daripada GBP£87,650 (RM463,248) dan penghantaran bermula pada suku pertama 2023.

BACA: NASKAH AUDI R8 TERAKHIR – R8 V10 GT RWD

BACA: AUDI RS Q E-TRON E2, GUNA ENJIN RANGE EXTENDER UNTUK RALI!

BACA: AUDI RS3 BAHARU – NAK PANDU KE PEJABAT OK. NAK PANDU KE TREK PUN OK JUGA

Google ads
Back to top button