Artikel Pilihan

HYUNDAI ELANTRA N DITAHAN POLIS CALIFORNIA KERANA BUNYI EKZOS STANDARD TERLALU BISING – STANDARD PUN SALAH KE CIKGU?

Seorang pemandu Hyundai Elantra N standard kilang baru-baru ini digantung pendaftaran kereta beliau kerana melanggar peraturan bunyi bising. Macam mana tu? Okey kereta-kereta N Hyundai ni spesial sikit sebenarnya. Macam Elantra N ni, ia dilengkapi dengan pelbagai pilihan mod pemanduan.

Jika dipandu dalam mod Normal, bunyi ekzosnya cukup perlahan dan tidak akan menimbulkan sebarang masalah. Kira macam cheat code jugak la. Tapi bila pilih mod yang lebih ganas, kereta sedan biasa ini akan menjelma menjadi jentera rali jadian yang akan membuatkan pemandunya tersengih macam kerang busuk.

Sistem ekzos pelbagai ni memang satu daripada kelebihan Elantra N ni. Bunyi letupan ala bertih jagung nak masak itu merupakan satu penghormatan dan anugerah dari kejayaan Hyundai dalam perlumbaan WRC. Walaupun ia sekadar masalah bunyi tapi nampaknya ia telah mencetuskan pertelingkahan antara peminat kereta dan pihak polis California.

Hyundai sudah pun memaklumkan yang mod pemanduan N hanyalah untuk digunakan di litar perlumbaan dan okeylah tu sebab kereta ni tak adalah bising sangat kalau mod N tidak diaktifkan. Tapi logik la sikit, ada ke manusia yang beli kereta dengan mod perlumbaan tetapi langsung tidak menyentuhnya (kecuali anda ia bangsa MLM dan founder kosmetik timbang tahil). Sama jugak macam beli pisau lapah tapi tidak dibenarkan untuk sembelih ayam.

Pemilik pun rasanya tak salah dan kalau di Malaysia cukup rasanya dengan saman ataupun kompaun tapi langkah membatalkan pendaftaran rasanya agak melampau. Ye lah dah kereta tu memang ada mod pemanduan pelbagai dari kilang dan bukannya ditambah selepas jualan.

Pautan video yang disertakan menunjukkan pegawai polis bertanya kepada pemilik kenapa ekzos kereta beliau berbunyi terlalu kuat. Pemilik menyatakan ia adalah sistem standard dan mempersilakan pihak polis untuk membuat pemeriksaan.

Kelakarnya pegawai tersebut menyatakan proses pembaikian kereta tersebut walaupun tiada apa yang tidak kena dengan kereta tersebut. Standard kilang tu bai. Langkah yang pertama ialah membawa kereta tersebut ke California State Referee untuk pemeriksaan (alah macam Puspakom la kat sini). Kemudian pemilik juga diminta agar membawa kereta tersebut dibawa kembali kepada pengedar agar mod perlumbaan boleh dikeluarkan dari sistem.

Kereta tersebut diuji dalam mod Sport dan ia gagal ujian bunyi kerana mencatatkan bacaan 98 decibels. Malah Hyundai turut mengeluarkan surat mengesahkan kenyataan pemilik yang kereta tersebut dalam keadaan sama seperti dikeluarkan dari kilang tapi macam tak berapa dilayan oleh pihak berkuasa. Hyundai turut mencadangkan penggunaan peredam bunyi muffler untuk mendapat kelulusan semasa ujian. Sama macam taktik ujian Puspakom kat sini jugak kan?

Kereta tersebut boleh diuji sekali lagi tetapi memandangkan ia telah diuji sebelum ini, pemilik mesti membuktikan pembaikian telah dilakukan sebelum ujian kedua dijalankan. Masalahnya apa yang perlu dibaiki kerana kereta tersebut memang dalam keadaan standard. Hah, kelakar jugak sistem perundangan kat sana kan? Ingat canggih sangat.

Buat masa sekarang belum ada kesudahan dalam kes ini dan pemiliknya pun sedang serabut kerana memikirkan proses pendaftaran yang tidak dapat dilakukan sedangkan kereta beliau berada dalam keadaan standard. Hah macam mana pendapat pakar-pakar perundangan atas talian sekelian?

Google ads
Back to top button