Artikel Pilihan

NASKAH AUDI R8 TERAKHIR – R8 V10 GT RWD

Bulan lepas peminat-peminat Audi di seluruh dunia menerima berita sedih yang Audi R8 bakal dihentikan pengeluaran dan bakal digantikan dengan supercar elektrik dengan sentuhan Porsche. Sedih kan? Tapi jangan bimbang, bukan semudah itu untuk Audi melepaskan model halo mereka dengan begitu sahaja. Model terakhir hadiah perpisahan dikatakan sebuah model istimewa dengan pacuan roda belakang.

Ternyata ramalan itu benar belaka dan terimalah Audi R8 V10 GT RWD. Ini merupakan R8 kedua menggunakan lencana GT.

Asas supercar Audi ini masih sama dari versi R8 V10 dari segi prestasi tetapi sebab ini adalah varian terakhir kuasa maksimanya telah dipertingkatkan kepada 611 hp (asal 562 hp). Sebagai perbandingan, Audi R8 AWD hanya mampu menjana 602 hp kuasa maksima. Selain menaik taraf enjin, Audi turut melaras kembali sistem transmisi tujuh kelajuan klac-berganda agar mampu memberikan tukaran lebih pantas dalam semua gear. Tersengih Tony Spark kalau dapat kereta ni.

Angka kuasa baharu ini memberikan kelebihan kepada R8 GT ini untuk membuat pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.4 saat dengan kelajuan maksima mencecah 320 km/j. Laju-laju nak ke mana bang? (ayat bangsa tak mampu beli, macam kami jugak).

Untuk menjadikan kereta ini lebih selamat tanpa menjejaskan keseronokan pemanduan, R8 ini dilengkapkan dengan Torque Rear Drive Mode. Alah macam sistem variable traction control la. Ia bertujuan untuk mengurangkan gelongsoran pada tayar belakang. Kawalan Tahap 1 (Level 1) akan mengurangkan gelongsoran semaksima mungkin. Jika skil ‘drift’ anda sudah semakin baik, boleh lah naik taraf ke secara beransur-ansur ke Tahap 7. Boleh la nak belasah tayar sampai berasap kalau duit tak habis makan.

Keteguhan casis kereta ini diperkuatkan lagi dengan anti-roll bar yang dihasilkan dari serat karbon dan plastik yang lebih kuat. Nak lagi hardcore? Pilih je adjustable coilover untuk sistem suspensi kereta ni.

Ciri-ciri tambahan lain ialah pengurang berat badan keseluruhan sekitar 19 kilogram selain cakera brek seramik untuk memberhentikan kereta ini tanpa aksi-aksi dramatik. Rim 10 jejari bersaiz 20 inci pula dibalut dengan tayar-tayar Michelin Sport Cup 2 untuk cengkaman yang diperlukan. Habis kau ingat Audi nak pasang tayar keluaran TingTong dan DingDong untuk supercar terakhir mereka ni.

Bahagian dalam semestinya diserikan dengan elemen berwarna hitam dan merah selain logo-logo R8 GT siap dengan nombor siri sebagai pemberitahuan kepada penumpang anda yang ini adalah salah satu daripada 333 unit R8 GT RWD yang ada di atas muka bumi yang fana ini.

Harga macam mana? Nak tulis pun sedih sebab tak mampu nak beli. Ia dianggarkan berharga RM1 juta lebih di AS. Campur cukai di Malaysia memang melopong lagilah jawabnya.

Jadi peminat enjin V10 dan Iron Man yang mampu tunggu apa lagi. Tempah la siap-siap dan bila dah dapat bagi la kami pandu uji. Ko guano?

Google ads
Back to top button