Buletin

TESLA MODEL S TERBAKAR DI LEBUHRAYA, 22,700 LITER AIR DIGUNAKAN UNTUK PADAM KEBAKARAN

Sebanyak 22,700 liter air terpaksa digunakan untuk memadam kebakaran yang hampir memusnahkan sepenuhnya sebuah Tesla Model S di Lebuhraya di California, Amerika Syarikat.

Jurucakap jabatan bomba berkata, pemilik kereta bagaimanapun, tidak menyedari apa-apa yang meragukan sebelum kebakaran tersebut berlaku sekitar pukul 4.00 petang pada 29 Januari lalu.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan tetapi anggota bomba menghadapi situasi sukar ketika memadam kebakaran itu. Masa yang diambil untuk memadam kebakaran adalah lebih kurang 19 minit.

Setelah trak bomba dan trak air tiba di lokasi kejadian, anggota bomba akhirnya memutuskan untuk menggunakan alat pemadam api kerana kebakaran tidak terus terpadam setelah menggunakan air.

“Pek bateri di bawah kenderaan terbakar dan semakin merebak hingga kami perlu menggunakan alat pemadam api,” tweet jabatan bomba. “Api telah dipadamkan dengan lebih kurang 22,700 liter air. Nasib baik, tiada kecederaan dilaporkan.”

Sebagai perbandingan, purata air digunakan untuk memadamkan kebakaran kereta berkuasa petrol adalah sekitar 1,890 hingga 3,785 liter.

Menurut ketua bomba, 22,700 liter adalah lebih daripada yang biasa diperlukan untuk memadamkan kebakaran rumah.

Sehingga kini, punca kebakaran masih belum didedahkan. Ini bukan kali pertama kereta elektrik Tesla mengalami kebakaran.

Google ads
Back to top button