
Bajaj? Ya. Tak ramai yang ambil peduli tentang pembuat motosikal dari India ini sehinggalah MODENAS menjalinkan kerjasama dengan mereka awal tahun ini menerusi pengenalan model-model NS200, RS200 dan V15 ke pasaran Malaysia.
Secara tiba-tiba, semua mata tertumpu pada gergasi motosikal dari India ini. Terbaru, Bajaj telah memuktamadkan jalinan kerjasama dengan pembuat motosikal terkemuka British, Triumph Motorcycle.
BACA: SIAPA SEBENARNYA BAJAJ AUTO?
Ini mungkin berita yang menggembirakan peminat motosikal tempatan secara amnya. Kemungkinan mendapat tempias positif hasil kerjasama ini tetap ada kerana sepertimana yang diketahui, kerjasama begini adalah lumrah dalam industri automotif baik dari syarikat besar mahupun syarikat sekecil Modenas.
Perjanjian ini memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak Bajaj dan Triumph. Ia membantu Triumph meneroka pasaran India yang besar (kerana pasaran motosikal berkuasa tinggi sedang berkembang di India). Sementara itu, Bajaj mendapat akses kepada pasaran sedia ada Triumph di seluruh dunia.
Di sudut lain, Bajaj mempunyai peluang menggunakan teknologi serta motosikal Triumph. Antara yang disebut-sebut sebagai percaturan penting Bajaj-Triumph ialah rangkaian model klasik/cafe racer Triumph yang terkenal yang mampu menembusi pasaran India yang dikuasai Royal Einfield.
Triumph juga berpeluang berkongsi fasiliti pemasangan kilang Bajaj di Pune. Buat masa ini, pasaran Triumph terhad kepada model pemasangan tempatan (CKD), tidak melibatkan pembangunan keseluruhan.
Ia adalah contoh awal di mana kerjasama Bajaj dan KTM sebelum ini yang membolehkan model-model rangakaian entry level KTM menggunakan teknologi Bajaj. Ia telah melonjakkan angka jualan dengan mendadak berikutan harga jualan yang jauh lebih rendah berbanding pembinaan sendiri oleh syarikat dari Austria tersebut.
Bajaj sentiasa agresif mencari peluang perniagaan dengan rakan-rakan yang lebih berpengalaman. Mereka juga telah memulakan kemasukan motosikal Husqvarna ke pasaran India bulan lepas. (Ya Bajaj juga memiliki ekuiti dalam Husqvarna)
Dalam sedekad kebelakangan ini, banyak kerjasama automotif luar meluaskan pasaran dengan rakan niaga India. Antara kerjasama yang boleh dilihat ialah bagaimana BMW menjalinkan kerjasama dengan TVS untuk menghasilkan model paling murah mereka BMW G310 R sementara TVS menghasilkan TVS Apache 310 RR (Akula) menerusi model yang sama.

Ia menguntungkan kedua-dua belah pihak dan juga pengguna.
Abang Japar harap Demak rebadge MV Agusta pula lepas ni. Dah alang-alang dapat dealership tu agresif lah sikit. Ini duk harap jual motor harga mencarut.
Brutale 800cc harga RM90K? Kau banding dengan harga motor tiga selinder Yamaha MT09 degan Triumph Street Triple tengok.
Patutlah Mv Agusta ni bangkrap memanjang.