Buletin

NISSAN UK TAWAR REBAT RM11,000 TUKAR BELI NISSAN LEAF (DAN RM27K UNTUK MODEL LAIN)

Nissan UK telah melancarkan kempen jualan “Switch Scheme” untuk menggalakkan pembeli bertukar kepada kenderaan jenama Nissan. Ia merupakan program tukar-beli yang cukup menarik dengan kadar rebat luar biasa banyaknya.

Bagi menggalakkan pembeli beralih kepada kereta berkuasa elektrik sepenuhnya, Nissan UK memberi rebat £2,000 (RM11,000) bagi tukar-beli kenderaan yang didaftar sehingga 2009 dengan pengkelasan enjin Euro 5.

BACA: PAKATAN RENAULT NISSAN KINI TERBESAR DI DUNIA

Eropah akan beralih kepada klasifikasi Euro 6 tidak lama lagi dan skim ini diperkenal bagi menggalakkan pembeli memiliki Nissan Leaf tanpa tertakluk kepada mana-mana klasifikasi pengeluaran karbon. Begitupun, Leaf yang ditawarkan ialah model terpakai dari varian 24kWh yang diluluskan oleh Nissan. Model ini boleh dipandu sehingga 200km untuk sekali cas.

Pembeli juga ditawarkan kit pengecas di rumah bernilai £279 (RM1500) secara percuma.

Dalam kempen yang sama, Nissan juga menawarkan rebat sehingga £5,000 (RM27K), ditambah dengan nilai tukar-beli untuk model-model terpilih Nissan yang lain.

Sementara itu, kita di Malaysia mendapat bodykit berharga RM1 untuk kereta-kereta Nissan.

Bertabahlah tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Google ads
Back to top button