Buletin

GARA-GARA SWAFOTO, PELANCONG MENINGGAL DUNIA SELEPAS TERJATUH DARI KERETA API “DEATH RAILWAY” DI THAILAND

Seorang pelancong New Zealand berusia 45 tahun terjatuh dari kereta api “Death Railway” di Thailand ketika cuba mengambil gambar swafoto.

Menurut laporan, Balai Polis Sai Yok dimaklumkan pada 11.50 pagi bahawa seorang pelancong asing maut selepas terjatuh kira-kira 10 meter dari kereta api.

Pelancong itu dikenali sebagai Patrick Ward. Dia dilahirkan di New Zealand dan memegang kerakyatan Ireland.

Komander polis, Kolonel Phuchong Narong-in berkata dalam satu kenyataan Ward adalah sebahagian daripada kumpulan pelancong yang diketuai oleh pemandu pelancong dari jambatan River Kwai. Dia menaiki kereta api untuk melihat “Death Railway”.

Saksi berkata dia melihat Ward membuka pintu kereta api ketika ia sedang bergerak perlahan di tempat yang indah dan cuba berswafoto dengan pemandangan di luar. Saksi juga melihat mangsa tergelincir di tangga pintu lalu terjatuh.

Seorang lagi pelancong di dalam kereta api yang sama secara kebetulan sedang merakam pemandangan sekeliling kemudiannya menangkap video Ward jatuh dari kereta api. Dalam video itu, Ward boleh dilihat jatuh terlentang keluar dari kereta api.

Memandangkan tiada tangga atau cara lain untuk turun di kawasan itu, penyelamat terpaksa mencipta sistem takal sementara untuk menarik mayat tersebut.

Polis berkata mereka akan menghubungi Kedutaan New Zealand di Bangkok untuk mengambil mayat bagi tujuan pengebumian.

“Death Railway” dibina dari 1940 hingga 1943 oleh orang awam dan tawanan perang Perang Dunia II.

Ia menghubungkan Thailand dan Burma dengan tujuan membantu membekalkan tentera serta senjata dalam kempen Jepun di Burma semasa Perang Dunia II.

Dianggarkan 180,000 hingga 250,000 orang awam Asia Tenggara dan 60,000 POW Bersekutu telah dipaksa oleh Jepun untuk bekerja di landasan kereta api. Lebih 100,000 daripada jumlah tersebut mati semasa pembinaan sedang dijalankan.

Google ads
Back to top button