
KIA EV2: DARIPADA MODEL KONSEP KE VERSI PRODUKSI – APA YANG BERUBAH?
Kia bakal membuka lembaran baharu dalam barisan EV kompaknya apabila EV2 versi produksi diumumkan akan membuat penampilan sulung pada 9 Januari di Brussels Motor Show.
Model ini pernah diperkenalkan sebagai EV2 Concept pada awal tahun, dan kini tibalah masa untuk melihat sejauh mana idea itu ditukarkan menjadi realiti.

Reka Bentuk: Apa Yang Kekal, Apa Yang Berubah
Walaupun diselubungi kain dalam beberapa imej acah rasmi, beberapa poin penting dapat diperhatikan:
Elemen Konsep Yang Dikekalkan
- Silhouette keseluruhan masih sama, gaya SUV kompak yang tegap.
- Reka bentuk berkotak, ciri yang menjadi identiti generasi EV Kia.
- Kink pada garis pinggang dan bumbung yang sedikit melandai ke belakang, sama seperti konsep.
- Spoiler belakang juga kelihatan masih dikekalkan.
- DRL pada versi produksi mungkin berubah sedikit, tetapi masih mengekalkan gaya rekaan “EV family” Kia.
Ini menunjukkan Kia berhati-hati mengekalkan identiti visual EV2 Concept sambil menjadikannya lebih praktikal untuk jalan raya.

Perubahan Besar Pada Versi Produksi
Seperti lazimnya transformasi daripada konsep ke produksi, beberapa penyesuaian tidak dapat dielakkan:
- Overhang hadapan lebih panjang – untuk mematuhi standard keselamatan dan zon remuk.
- B-pillar konvensional kini wujud, berbeza dengan konsep yang menampilkan bukaan pintu luas tanpa tiang.
- Kabin konsep menampilkan ruang lebih fleksibel, tempat duduk boleh digelongsorkan hingga ke belakang dan ruang lantai rata sepenuhnya. Untuk produksi, Kia hanya mengesahkan ia akan menawarkan “ruang boleh ubah yang selesa”, tetapi tidak menyatakan sama ada susun atur kabin futuristik konsep dikekalkan.
Kia dijangka mengumumkan butiran penuh bahagian dalaman pada hari pelancaran.

Janakuasa dan Spesifikasi: Masih Dirahsiakan
Kia belum mendedahkan angka kuasa, kapasiti bateri atau jarak perjalanan, namun rujukan paling dekat ialah model-model EV bajet Kia lain di bawah EV6.
Kia dijangka menggunakan sistem elektrik 400 volt dan bukannya konfigurasi 800 volt. Model ini juga berkemungkinan hadir dengan motor tunggal yang memacu roda hadapan, walaupun reka bentuk luarnya seolah-olah menampilkan ciri pacuan semua roda.
Malah, untuk varian GT yang lebih sporty sekalipun, Kia dijangka masih mengekalkan konfigurasi pacuan hadapan sahaja.
Jika mengikuti jejak Hyundai Inster, model “adik sepupu” kepada EV2, kita mungkin melihat pilihan bateri sekitar 39kWh hingga 46kWh, dengan jarak anggaran 327–369km WLTP dan motor sekitar 113hp.
Kia menyasarkan harga sekitar €30,000 (sekitar RM150,000) bagi pasaran Eropah, menjadikan EV2 seteru langsung kepada Renault 4 E-Tech dan SUV elektrik kompak lain. Jualan dijangka bermula pada tahun 2026.


