Buletin

BANYAK MOTOSIKAL BERKUASA TINGGI DAN KENDERAAN MEWAH GUNA PLAT FANCY

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang mengeluarkan sebanyak 246 saman terhadap pemandu kenderaan mewah dan motosikal berkuasa tinggi yang menggunakan nombor pendaftaran ‘fancy’ dalam Op Perdagangan dan Ops Lancar sejak sebulan lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Mohd. Zahir Abdullah berkata, berdasarkan jumlah itu, kenderaan dari luar Kelantan yang berada di daerah ini didapati banyak menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi.

Kebanyakan pemandu kenderaan mewah dan motosikal berkuasa tinggi didapati mengubah suai warna nombor pendaftaran kepada warna perak dan emas yang pada mereka kelihatan lebih unik.

“Perbuatan tersebut menyalahi undang-undang jalan raya dan polis memandang serius berhubung isu ini.

“Selain mengeluarkan saman, kesemua pemandu yang terlibat diarahkan untuk menukar kepada nombor pendaftaran yang diluluskan dalam tempoh tertentu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Derma Darah di IPD Machang baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd. Zahir berkata, kegiatan merempit dan samseng jalanan di Machang dilihat masih terkawal kerana pasukannya kerap menjalankan rondaan di sekitar kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button