Artikel PilihanBuletin

BARCELONA KUATKUASA LARANGAN KERETA LAMA MASUKI KAWASAN BANDAR

Warga Barcelona mendapat kejutan pada hari pertama tahun baru bila mengetahui yang pihak berkuasa tempatan telah mengumumkan larangan kepada kereta-kereta lama daripada memasuki kawasan pusat  Bandar.

Mana-mana individu yang memandu kereta berenjin petrol buatan sebelum tahun 2000 dan model disel yang didaftarkan sebelum 2006 tidak lagi dibenarkan memasuki kawasan yang diwartakan. Kawasan terbabit mempunyai keluasan 59.5 kilometer persegi daripada jumlah keseluruhan  102 kilometer persegi.

Larangan tersebut bagaimanapun dikenakan hanya pada hari bekerja dari jam 7 pagi sehingga 8 malam dan mereka yang melanggar larangan tersebut boleh dikenakan saman sehingga USD168 (hampir RM690!).

Tapi disebabkan kemungkinan ramai pemandu belum mendapat info tentang larangan ini, tidak ada saman akan dikeluarkan selama tiga bulan pertama tetapi peringatan akan dikeluarkan. Sebanyak 150 kamera telah dipasang di sekitar bandaraya untuk mengesan mana-mana pemandu yang engkar.

Pemandu kenderaan kiriman barang dan mereka yang boleh membuktikan pendapatan tahunan mereka adalah di bawah paras 8,000 Euro (RM37,000) setahun diberikan tempoh pengecualian selama setahun. Begitu juga dengan kenderaan yang didaftarkan di luar kesatuan Eropah, mereka dibenarkan memandu tetapi mesti memohon kebenaran dengan pihak berkuasa tempatan.

Menurut pejabat Datuk Bandar Barcelona, sekitar 50,000 kenderaan akan terjejas dengan peraturan baru ini setiap hari dan angka itu akan semakin meningkat bila lori, trak dan bas juga akan dikenakan sekatan yang sama.

Langkah ini terpaksa diambil kerana Barcelona gagal mencapai tahap pelepasan gas nitrogen oksida yang ditetapkan Kesatuan Eropah EU sejak 2002. Kualiti udara yang buruk juga telah menyebabkan kematian 424 penduduk sekitar 2010 hingga 2017. Ia berdasarkan laporan yang disediakan oleh jabatan kesihatan obandar tersebut.

Kalaulah peraturan ini dikenakan di sini, bukan setakat 50,000, rasanya mahu 70 peratus kenderaan tak boleh masuk Kuala Lumpur. Tak masuk bandar la yang pakai R34, RX-7, AE86 dan  lain-lain lagi tu. hadoii la…

Tags
Google ads
Back to top button