
ROYAL ENFIELD GUERILLA 450 LANCAR 17 JULAI INI
Royal Enfield bakal memperluas tawaran model 450cc menerusi pelancaran global Guerilla 450 di Barcelona, Sepanyol pada 17 Julai ini.
Perkara itu diumumkan menerusi video ‘teaser’ pendek di Instagram rasmi Royal Enfield yang turut memaparkan pelumba legenda Isle of Man TT, Guy Martin.
Royal Enfield Guerilla 450 merupakan motosikal jenis ‘roadster’ yang mengguna pakai enjin sama yang terdapat pada Himalayan 450 dan menawarkan 40hp dan 40Nm. Platform baharu itu dipadankan bersama transmisi 6-kelajuan serta klac slipper dan teknologi ride-by-wire.
Berbeza denga Himalayan 450 yang memfokuskan prestasi ‘off-road’, Guerilla 450 pula lebih sesuai untuk kegunaan di jalan raya.
Bagaimanapun, Guerilla 450 berkongsi beberapa kelengkapan sama dengan Himalayan 450 termasuk radiator, ekzos, subframe dan swingarm.
Antara ciri lain turut dikenal pasti dari video ‘teaser’ tersebut adalah kehadiran lampu LED penuh serta meter TFT dengan Tripper (navigasi). Selain itu turut kelihatan penggunaan rim 17-inci depan dan belakang serta fork teleskopik di bahagian depan.
Kami akan bawakan maklumat lebih terperinci pada pelancaran global 17 Julai ini.