MOTOGP: JORGE MARTIN JUARA DUNIA MUSIM 2024
Penentuan juara dunia Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2024 akhirnya terjawab dengan Jorge Martin merangkul kejuaraan dunia pertamanya di Barcelona, pada Ahad.
Walaupun pelumba Pramac Racing itu menamatkan perlumbaan terakhir musim 2024 di Litar Barcelona di kedudukan ketiga namun jumlah kutipan mata sudah cukup meletakkan pelumba Sepanyol itu sebagai juara musim ini.
Sementara itu, pesaing terdekat Francesco Bagnaia gagal mempertahankan kejuaraan dunia dimenangi musim lalu meskipun memenangi pusingan terakhir di hadapan Marc Marquez dan Martin.
Ini kerana Martin masih berkelebihan 10 mata di hadapan Bagnaia dalam kedudukan keseluruhan juara dunia selepas perlumbaan berakhir.
Selain itu, kejayaan Martin juga menyaksikan dia muncul pelumba ‘independent’ pertama (dalam era MotoGP) yang dinobat juara dunia sementara Pramac pula jadi pasukan satelit pertama (dalam era MotoGP) menjadi juara dunia.
Senario ini juga merupakan pengakhiran manis buat Pramac Racing yang menamatkan kerjasama hampir 20 tahun bersama Ducati sebelum beralih ke Yamaha musim depan. Sementara itu, Martin pula akan berhijrah ke pasukan kilang Aprilia bagi musim 2025.
Terdahulu, perlumbaan akhir di Barcelona menyaksikan Bagnaia muncul pemenang diikuti Marquez kedua dan Martin ketiga. Pusingan kali ini juga membawa seribu erti buat pelumba veteran Aleix Espargaro yang bakal menamatkna kariernya musim ini selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima di belakang Alex Marquez.
Sementara itu, Bagnaia dan Marquez bakal bergandingan di kem kilang Ducati bagi musim 2025.